Keunikan sejarah dan alam



SUASANA pekan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Selangor pagi itu tidak sibuk. Kenderaan bergerak lancar melalui deretan bangunan kedai lama.

Di luar bangunan kedai itu tertera angka 1930 menunjukkan tahun pembinaan bangunan tersebut yang sehingga kini masih kekal kukuh. Beberapa orang kelihatan sedang berurusan di kedai runcit dan ada juga yang sedang menjamu selera dalam restoran di bangunan lama berkenaan.

Dengan latar belakang bukit yang menghijau membuatkan pekan tersebut kelihatan unik dan seakan-akan sebuah taman besar.

Menjejak sejarah

Justeru, tidak hairanlah Kuala Kubu Bharu atau dahulu dikenali sebagai Kuala Kubu semakin menarik kedatangan pelancong sama ada menikmati keindahan alam atau menjejak sejarahnya.

Berdasarkan sejarah, daerah Hulu Selangor wujud semasa pemerintahan Inggeris di Kuala Kubu Bharu pada 12 Mei 1883, selepas sembilan tahun campur tangan British di negeri Selangor.

Pada zaman British, daerah tersebut pernah ditadbir oleh Cecil Ranking dan Mac Carthy iaitu semasa Frank Swettenham menjadi Residen British di Selangor.

Pada mulanya pentadbiran British terletak di Kuala Kubu lama yang kini dikenali sebagai Ampang Pecah. Perpindahan ke pekan sekarang berlaku pada 1 September 1930 berikutan kawasan lama tersebut dilanda banjir besar.


NIKMATI kesejukan air dan suasana tenang di Sungai Chiling.


Namun, bangunan-bangunan lama di pekan itu masih dapat disaksikan utuh berdiri antaranya, bangunan pejabat pos, bangunan kedai, menara jam dan pejabat polis trafik.

Bangunan pejabat pos yang terletak di tengah-tengah pekan Kuala Kubu Bharu masih terpelihara dan masih digunakan sehingga hari ini. Bangunannya juga telah dicat baharu menyerlahkan keunikan senibinanya.

Tidak puas menatap seni bina pejabat pos, singgahlah sebentar ke balai polis trafik. Seni bina Inggeris terserlah di bangunan itu.

Tidak jauh dari balai polis trafik, terdapat sebuah menara jam yang mempunyai sejarah tersendiri. Orang ramai dapat membaca tulisan di menara berkenaan yang dibina sebagai memperingati pertabalan King George VI dan Ratu Elizabeth pada tahun 1930-an.

Dari kawasan berkenaan, pengunjung dapat menyaksikan pemandangan pekan Kuala Kubu Bharu yang mendamaikan. Pekan itu dipagari bukit-bukit menghijau yang menambahkan lagi suasana nyaman di situ.

Masjid lama

Malah, jika pengunjung pergi ke Ampang Pecah yang jaraknya kira-kira enam kilometer (km) dari pekan Kuala Kubu Bharu bolehlah singgah sebentar untuk bersolat di sebuah masjid lama iaitu Masjid Lama Al-Hidayah, Ampang Pecah. Di kubah masjid itu tertera tahun 1926.

Masjid itu mempunyai sejarah tersendiri. Seni bina bangunan begitu unik dan masih kukuh. Di bahagian luar masjid terdapat sebuah tabuh dan kolah air juga masih mengekalkan seni bina lama.

Bahagian dalam masih dihiasi lampu-lampu lama termasuk candelier antik. Mimbar kayu juga turut mempunyai ukiran yang unik.

“Keunikan-keunikan tersebut membuatkan Kuala Kubu Bharu sering menjadi tumpuan dan pilihan penerbit-penerbit untuk membuat rakaman filem, drama dan iklan. Pasangan pengantin baharu juga tidak ketinggalan mengabdikan foto indah mereka di pekan ini,” kata Rusmi Minhat, Pengerusi Kelab Rekreasi dan Pelancongan Daerah Hulu Selangor ketika ditemui baru-baru ini.

Kolam air panas


BANGUNAN lama di pekan Kuala Kubu Bharu masih terpelihara dan menjadi lokasi tumpuan rakaman drama atau filem.


Beliau yang juga penghulu di Kuala Kubu Bharu berkata, selain peninggalan sejarah, pekan yang menjadi transit orang ramai dari Kuala Lumpur ke Bukit Fraser, Pahang itu turut mempunyai banyak tarikan pelancong.

Katanya, pengunjung juga boleh melawat kolam air panas, Kuala Kubu Bharu sama ada untuk mandi-manda atau sekadar merendam kaki. Jaraknya kira-kira satu kilometer dari pekan dan pengunjung perlu melalui kawasan perumahan untuk sampai ke kolam air panas tersebut.

“Walaupun, kolamnya tidak begitu besar dan tidak mempunyai kemudahan yang lengkap namun kualiti air panasnya begitu menyegarkan dan menyihatkan badan,” katanya.

Penduduk-penduduk sekitar ramai yang berkunjung ke kolam air panas berkenaan terutamanya pada hujung minggu.

Pemandangan indah

Setelah puas berendam air panas, singgahlah ke Empangan Sungai Selangor atau lebih dikenali sebagai Empangan Kuala Kubu.

Persekitaran empangan itu amat mendamaikan dengan pemandangan takungan air sungai serta hutan yang menghijau. Meskipun panas terik tiupan angin menyejukkan badan.

Abadikan kenangan anda berkunjung ke situ dengan mengambil gambar-gambar bersama rakan-rakan atau ahli keluarga.

Terdapat beberapa kemudahan yang disediakan di atas tebing seperti tempat letak kereta dan pondok rehat.

“Kawasan empangan ini menjadi tumpuan orang ramai bagi menikmati keindahan air sungai yang terbentang luas serta kehijauan alam sekali gus dapat menenangkan fikiran,” kata setiausaha kelab berkenaan, Hafidzan Maarof, 46,


AZMI (kiri) dan pembantunya menunjukkan parang dan keris yang dijual di kedainya.


Empangan tersebut beroperasi sejak tahun 2003 dan terletak kira-kira lima kilometer dari pekan Kuala Kubu Bharu.

Tidak jauh dari empangan tersebut juga, katanya, orang ramai boleh berkelah atau mandi-manda di Sungai Chiling.

Selain terkenal dengan keindahan air terjun dan aliran jeram yang jernih ia turut mempunyai satu lagi tarikan iaitu kewujudan spesies ikan kelah.

Kelebihan itu menjadikan kawasan perkelahan tersebut diiktiraf sebagai santuari ikan Sungai Chiling. Malah, ia merupakan habitat semula jadi ikan kelah yang terdekat untuk dikunjungi orang ramai di sekitar Lembah Klang.

“Air sungai yang dingin dengan suasana hutan membuatkan ramai orang berkunjung ke Sungai Chiling. Tidak ketinggalan kumpulan yang meredah hutan untuk pergi ke kawasan air terjun yang cantik di sini,” kata Hafidzan lagi.

Cenderamata

Dalam pada itu, bagi mereka yang ingin membeli cenderamata, berkunjunglah ke kedai Teras Bina Teknik Enterprise di Jalan Hospital, Kuala Kubu Bharu.

Kedai milik Azmi Azhar Ahmad tersebut menjual rantai kunci, parang, pisau, keris dan pedang. Ia dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

“Saya juga turut mengambil tempahan untuk membuat sarung parang atau pisau dengan kadar bayaran tertentu. Setiap barangan yang dijual harganya bergantung kepada kualiti sesuatu barangan itu.

“Sebilah pisau lapah berharga antara RM120 hingga RM500 setiap satu. Kebanyakan barangan yang dijual, saya hasilkan sendiri.

“Rantai kunci yang saya buat juga istimewa kerana dihasilkan daripada kayu penawar hitam yang boleh menjadi penawar bisa binatang,” katanya.