Ciri kemelayuan Ombak Villa

OMBAL Villa menampilkan seni bina tradisional Melayu.


BAGI mereka yang mahukan percutian jauh daripada suasana hiruk-pikuk kesibukan kota, apa kata singgah ke Pulau Langkawi. Percutian di pulau legenda itu, bukan sahaja menawarkan keindahan pantai bahkan, pelbagai lokasi menarik.

Jika anda sukar mencari penginapan yang sesuai saat bertandang tamu ke Langkawi, Ombak Villa yang terletak di Jalan Kuala Muda, Padang Matsirat sedia menyambut para tetamunya dengan menampilkan konsep seni bina tradisional Melayu dan mesra alam.


BEGINILAH keadaan Premier Villa menurut lakaran artis apabila ia sudah disiapkan.


Pembangunan Ombak Villa yang bernilai RM48 juta tersebut merupakan projek terbaharu Langkawi Lagoon Resort yang dibangunkan oleh Tema Teladan Sdn. Bhd. (Tema Teladan)

“Ombak Villa bakal menampilkan 79 unit bilik mewah yang mengenengahkan seni bina tradisional Melayu.

“Ia mempunyai 76 suite premier selain dua suite bulan madu dan satu unit Premier Villa,” kata Pengerusi Tema Teladan, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar di Langkawi awal Januari lalu.

Tambahnya, Ombak Villa yang dibina menghadap Laut Andaman bakal menawarkan suatu pengalaman percutian lengkap.

Ombak Villa akan memulakan operasi fasa pertamanya Mac ini sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013.

Bermula pada harga RM600 semalam, fasa kedua Ombak Villa dijangka selesai September ini.


RUANG bilik air dihias ringkas namun elegan.


Seni bina Melayu

Melangkah masuk ke sebuah suite, kelihatan kedudukan katil berada di tengah-tengah bilik. Ia menghadap beranda memperlihatkan Laut Andaman yang luas terbentang

Ombak Villa bukan sahaja menekankan konsep seni bina tradisional Melayu dalam reka bentuk bangunan tetapi hiasan dalaman suite juga disuntik dengan elemen kemelayuan.

Idea ringkas dan elegan yang diterapkan oleh pereka fesyen terkenal, Rizalman Ibrahim dapat dilihat menerusi penggunaan songket pada hiasan kepada katil.

Kemasan lantai bahagian beranda yang menawarkan pemandangan mendamaikan pula diperbuat daripada Wood Plastic Composite yang kelihatan seperti kayu sebenar supaya tahan lebih lama.

Mengadaptasi elemen mesra alam dalam pembangunannya, Ombak Villa mempunyai tangki Rain Water Harvesting iaitu tadahan air hujan yang digunakan untuk penyiraman landskap.


TIDAK seperti hotel-hotel lain, kedudukan katil berada di tengah-tengah menghadap beranda membolehkan pengunjung menikmati pemandangan indah laut yang terbentang luas.


Tidak ketinggalan penggunaan mentol jimat tenaga, ruang lobi bersiling tinggi bagi mengelakkan rasa panas dan penanaman pokok-pokok herba mengindahkan landskap.

Kedudukan Ombak Villa yang berjiran dengan Langkawi Lagoon Resort dan Kuala Melaka Inn yang bernaung di bawah Tema Teladan juga memberikan pilihan penginapan kepada pelancong serendah RM85 hingga RM8,000 semalam.

“Tidak seperti hotel-hotel mahupun resort lain, kemudahan surau disediakan di tengah-tengah ketiga-tiga resort ini untuk kegunaan para pelancong yang beragama Islam,” ujarnya.

Surau Hajah Felina yang dibuka pada 6 Mac 2012 mampu menampung 60 jemaah pada satu masa mempunyai imam dan bilalnya sendiri.