Selangor mendapat semangat baru

KEJAYAAN muncul pasukan pertama menempah slot suku akhir Piala FA 2013 sebaik menjinakkan Sabah 3-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu kelmarin, jelas menyuntik moral barisan pemain Selangor ketika melayan kunjungan musuh tradisi, Kelantan dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam esok.

Pengendali Gergasi Merah, Irfan Bakti Abu Salim berkata, kemenangan itu pastinya membakar semangat juang anak-anak buahnya bagi memastikan The Red Warriors pulang hampa.

"Sudah tentu kemenangan ke atas Sabah menyuntik moral kami untuk berdepan Kelantan nanti.

"Sejujurnya, kami hanya mahu menang ke atas Kelantan di Shah Alam selepas ini," kata Irfan.

Dalam perlawanan kelmarin, penyerang import Merah Kuning, Francis Forkey Doe muncul wira apabila meledak dua gol pada minit ke-45 dan 87 sementara satu lagi gol dicetak oleh Raimi Mohd. Nor (52).

Dengan kemenangan itu, Selangor yang juga juara lima kali Piala FA bakal berdepan pemenang antara pasukan elit, Johor Darul Takzim dan Kedah yang hanya akan bertarung pada 26 Februari depan.

Begitupun kata Irfan, masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki skuad kendaliannya jika tidak mahu dimalukan Sang Kijang malam esok.

"Masih ada beberapa pemain yang memandang mudah perlawanan (menentang Sabah).

"Cuaca yang panas juga sedikit sebanyak mengganggu rentak permainan kami, namun saya gembira dapat menyambar slot suku akhir biarpun tidak menjangkakan kemenangan besar," katanya.

Untuk rekod, pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan liga juga dilihat seimbang musim lalu apabila Selangor menang 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum Kelantan kembali bangkit menebus kekecewaan menang 1-0 hasil jaringan tunggal Mohammad Ghaddar di Kota Bharu.