PKNS ketepikan cabaran Felda


PENYERANG PKNS, Patrick Ronaldiho (tengah) bertindak cemerlang untuk membantu pasukannya menewaskan Felda United pada perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ semalam.


JURULATIH Selangor PKNS, Abdul Rahman Ibrahim mendedahkan, tuah lebih memihak kepada skuad kendaliannya selepas kejayaan menewaskan Felda United 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya petang semalam.

Pengendali kelahiran Terengganu itu berkata demikian selepas menyaksikan skuad kendaliannya, PKNS menentang Felda United yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Mohd. Nizam Abu Bakar dilayangkan kad merah pada minit ke-32.

Nizam diarah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua dan PKNS mengambil kelebihan itu untuk memusnahkan kubu lawan.

Hasilnya, skuad kendaliannya Abdul Rahman berjaya merobek gawang Felda United menerusi jaringan Helmi Remeli pada minit ke-28, Patrick Wleh Ronaldinho (44) dan Mohd. Nazrin Syamsul Bahri (55).

Gol sagu hati Felda United dijaringkan oleh penyerang import dari Lebanon, Mohammed Ghaddar pada minit ke-33.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman mengakui gembira dengan pasukannya selepas berjaya mengutip tiga mata berharga pada aksi yang berlangsung di gelanggang lawan itu.

"Kami bertuah kerana memiliki kelebihan selepas pemain Felda dilayangkan kad merah.

"Selepas situasi itu, ia jelas memberikan kelebihan kepada kami mengatur serangan dan saya puji barisan pemain kerana semakin berani untuk terus melancarkan asakan," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan semalam.

Dalam perkembangan sama, jurulatih Felda, K. Devan mengakui bahawa kehilangan Nizam telah merencatkan strateginya dalam usaha untuk meraih sekurang-kurang satu mata pada perlawanan tersebut.

"Jika kami memiliki pemain yang cukup, saya yakin Felda mampu memberikan saingan tetapi insiden kad merah itu (yang menyebabkan kehilangan Nizam) amat dirasai.

"Namun, saya tetap berpuas hati dengan prestasi pemain saya. Walaupun ketinggalan, mereka tetap memberi saingan serta mempamerkan semangat juang yang tinggi," ujar Devan.