Polis tahan dua lelaki rompak siber kafe

17/02/2013 5:55pm

GEORGETOWN Dua lelaki ditahan polis selepas merompak sebuah kafe siber di Relau, dekat sini awal pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Ismail Toh Paduka Idris berkata, pada kejadian pukul 2.30 pagi itu, suspek yang berusia 25 dan 26 tahun mengarahkan kesemua pelanggan keluar dan mengacukan sepucuk pistol berbalut kain ke leher penjaga premis berkenaan serta memaksa mangsa menyerahkan wang kutipan jualan serta barangan berharga.

"Sejurus mendapat maklumat dari orang awam polis bergegas ke lokasi kejadian dan menahan suspek yang sedang berlari keluar dari premis selepas melakukan rompakan itu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap kedua lelaki itu polis menemui semula wang tunai berjumlah RM379, dua buah telefon bimbit dan sepucuk pistol tiruan.

Ismail berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang tinggal di Balik Pulau itu turut terlibat dalam kes samun di sebuah kafe lain di daerah ini menggunakan taktik serupa Jumaat lepas. BERNAMA