Hantu Kak Limah mengamuk lagi


FILEM ini menjadi filem terakhir lakonan pelawak terkenal, Allahyarham Zami Ismail.



GAYATRI SU-LIN PILLAI (empat dari kiri) bersama karyawan filem Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit sewaktu pratonton baru-baru ini.


DALAM masa tujuh hari tayangan, Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR 2): Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit mengatasi kutipan kolektif filem tempatan lain yang ditayangkan sepanjang tahun ini. Filem-filem lain yang dimaksudkan itu termasuklah Minyak Dagu, Juvana, Wawa Semput serta dua buah filem bukan Melayu iaitu Paper Moon (Mandarin) dan Ops Kossa Dappa 3 (Tamil).

Sejak ditayangkan 7 Februari lalu, filem karya dan arahan Mamat Khalid itu mencatat kutipan tiket berjumlah RM4.28 juta. Sebagai perbandingan, Minyak Dagu mencatat kutipan sebanyak RM2.36 juta sepanjang 28 hari tayangan manakala Juvana pula sebanyak RM2.69 dalam tempoh 11 hari tayangan.

Melihat kepada pencapaian awal yang diterima filem Kampung Pisang itu, ramai yang menjangkakan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit akan mengulangi semula kejayaan yang diraih dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010).

Ketika mula ditayangkan di 48 buah pawagam pada hujung tahun 2010 hingga ke Januari 2011, filem itu memperoleh RM2.7 juta selepas seminggu ditayangkan. Setelah tamat tayangan panggung selama enam minggu kutipan keseluruhan HKLBR berjumlah RM7.90 juta. Angka itu menjadikan filem pengarah prolifik itu menjadi filem ketiga kutipan paling tinggi sepanjang tayangan pada tahun 2010 di belakang Ngangkung (RM8.18 juta) dan Khurafat: Perjanjian Syaitan (RM8.03 juta).

Ekoran kejayaan yang disifatkan luar biasa kali ini, Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (TU) selaku penerbit filem berkenaan merancang untuk menghasilkan Hantu Kak Limah 3. Gayatri Su-Lin Pillai mewakili TU menjelaskan, pihaknya sudah pun mengadakan perbincangan Mamat Khalid mengenai perkara berkenaan.

"Selama seminggu tayangan, jumlah kutipan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit ialah dua kali ganda lebih banyak berbanding HKLBR 2010. Buat masa ini pihak kami tidak tahu berapa lama tempoh tayangan di pawagam. Cuti umum perayaan Tahun Baru Cina mungkin antara faktor yang menyumbang kepada jumlah kutipan.

"Pengaruh kuat jenama 'Kampung Pisang' seperti Zombie Kampung Pisang dan HKLBR sebelum ini juga sangat membantu promosi filem ini," jelas Gayatri yang akan akur dengan permintaan pawagam berhubung tempoh tayangan filem berkenaan.

Bagi Mamat sendiri, selain kutipan box-office, kepuasan sebenar buat seorang pengkarya ialah apabila panggung bukan sahaja dipenuhi golongan muda.

"Saya rasa seronok apabila filem ini mampu membawa masuk penonton yang terdiri daripada semua golongan. Penonton yang datang bukan setakat kepit teman sahaja bahkan bawa seisi keluarga masuk panggung," katanya yang menyasarkan kutipan sebanyak sekurang-kurang RM6 juta untuk filem itu.

Senario penerimaan penonton filem pada fasa pertama pertama 2013 ini memberi petunjuk bahawa filem Melayu tempatan sedang bangkit setelah rata-rata filem yang ditayangkan pada tahun 2012 tidak menggembirakan industri. Pengurangan jumlah tayangan daripada dua filem Melayu seminggu pada 2012 berbanding satu filem satu minggu pada 2013 juga memberi lebih ruang kepada filem Melayu untuk bertahan lebih daripada dua minggu untuk ditonton ramai.

Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit mengisahkan kepulangan Husin ke Kampung Pisang setelah diisytihar muflis di Singapura. Kedatangan Husin menjadi sebab kepada kemunculan bekas kekasihnya Mon. Dalam waktu yang sama, Kampung Pisang kembali kecoh akibat gangguan makhluk halus dan Husin sendiri telah hilang diculik oleh lembaga misteri di kampung itu.