Pelajar Kolej Mara ceria terima BB1M, SSP1M


ANTARA pelajar Kolej Mara ceria menerima BB1M pada satu majlis di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.


GALAK BELI BUKU. Seramai 502 pelajar Kolej Mara menerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) dengan nilai keseluruhan RM125,500 pada satu majlis yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Setiap pelajar menerima RM250 seorang, pertambahan sebanyak RM50 sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2013 bagi meringankan beban pelajar membeli bahan bacaan untuk rujukan pembelajaran dan menambah pengetahuan.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd. Najeeb Abdullah berkata, pemberian baucar itu bertujuan meningkatkan minat pelajar untuk mendapatkan bahan bacaan bermutu sebagai rujukan dalam pengajian mereka.

"Langkah ini diharap dapat meringankan beban pelajar terutama dalam pembelanjaan berkaitan pembelian buku ini," ujarnya.