Nilai berbeza yoga Barat


PARA pelancong Barat dilihat menyertai rutin yoga tradisional yang dilangsungkan sempena Festival Kumbh Mela di Allahabad, India baru-baru ini.


SHIVA REA yang dalam lingkungan usia 40-an membongkokkan badan mengikut ritma. Dia sebenarnya sedang melakukan senaman 'yoga berkuasa tinggi' yang sangat mengejutkan golongan pengamal yoga tradisional.

Sejurus pencipta tarian Yoga Trance yang penuh bertenaga itu baru sahaja selesai membuat demonstrasi senaman berkenaan di sebuah festival yoga di utara India. kira-kira 20 orang telah meninggalkan bilik itu.

"Ini bukan yoga, ia hanya pertunjukan. Namun, demi menjayakannya di California, mereka perlu melakukannya sebegini," ulas seorang guru yoga Austria, Florian Palzinsky, 42.

Sejak beribu-ribu tahun, yoga adalah mengenai ekspresi kawalan tubuh, pernafasan dan minda secara berperingkat.

Begitupun, kritikan terhadap aksi Rea di Festival Yoga Antarabangsa selama seminggu di Rishikesh secara tidak langsung menambahkan sebab perpecahan antara pengamal yoga sejati dan pelatih seni dengan inovasi baharu itu.

Rishikesh yang terletak di kaki bukit Himalaya menjadi lokasi terkenal di dunia apabila pernah menerima kunjungan kumpulan muzik The Beatles pada tahun 1968. Ahli kumpulan itu mempelajari cara meditasi daripada Maharishi Mahesh Yogi, sekali gus membantu mempopularkan idea kerohanian India.

Kini, beratus-ratus pelawat, kebanyakan daripada mereka adalah warga asing, mengunjungi tempat itu setiap tahun untuk menyertai festival tersebut. Mereka datang dari pelbagai negara di dunia membawa tikar yoga untuk mempelajari tentang pengawalan pernafasan, postur, membaca mantera dan mendapatkan maklumat nutrisi daripada pakar yoga.

Kelas-kelas bermula pada pukul 4 pagi dan berlangsung sehingga matahari terbenam.

"Yoga tidak mengalir dalam urat kita seperti ia dalam kalangan orang India. Jadi, saya datang sini untuk bermula daripada asas," kata guru yoga berbangsa Perancis, Juliette Allard, 38, yang menghadiri festival tersebut sejak tiga tahun yang lalu.

Guru sejati

Pakar nutrisi Jerman, Daniela Wolff, 50, berkata bahawa dia berasa amat gembira menyertai festival itu apabila dapat bersama guru-guru aliran tradisional India seperti Swami Yogananda berusia 103 tahun yang menyampaikan kursus pada setiap pagi tepat pada pukul enam.

PENGAMAL kesihatan Barat telah banyak mencedok pergerakan yoga dan dikomersialkan mengikut gaya hidup mereka. - Gambar hiasan


"Mereka sangat sejati, tidak menggunakan kata-kata mewah, tidak menggunakan muzik. Paling penting, mereka tidak perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa," kata Wolff.

Bagi guru yoga dari Jepun, Hikaru Hashimoto, warga Amerika sangat berbakat dalam mengembangkan yoga, membawa perubahan dan pelbagai gaya baharu yang mampu dibawa ke seluruh dunia.

"Tetapi India merupakan negara asal yoga. Asasnya bermula di sini," ujarnya.

Dalam pada itu, pengamal bukan konvensional yang turut menarik perhatian ramai pada festival itu ialah wanita berkulit putih dari Amerika, Gurmukh Kaur Khalsa. Nama asalnya ialah May Mary Gibson tetapi kini dia seorang penganut Sikh yang taat.

Khalsa memberi tunjuk ajar khas kepada bintang Hollywood seperti Madonna, Cindy Crawford dan Courtney Love mengenai Yoga Kundalini. Ia merupakan satu bentuk meditasi regangan yang memimpin peserta 'mencari cahaya dalam diri sendiri'.

"Semua orang menginginkan untuk berasa lebih baik dan menjadi lebih dekat kepada diri mereka sendiri. Itu adalah intipati yoga," katanya.

Tetapi Khalsa mengejutkan penonton yang mengambil bahagian dalam festival itu apabila kumpulannya menggenggam jari-jemari tangan dan melaung perkataan 'Hallelujah' selama 10 minit, sambil meliukkan badan masing-masing.

Ada sebilangan daripada mereka kelihatan menitiskan air mata manakala peserta lain kelihatan gembira selepas sesi itu. Begitupun, reaksi emosi mereka tidak menarik perhatian pengkritik.

"Saya mengamal yoga selama 20 tahun. Saya berasa pengetahuan saya masih cetek. Hari ini, yoga telah menjadi komersial, sedangkan ia sepatutnya menjadi satu pencarian falsafah dalam diri seseorang," kata guru yoga dari India, Kamal Deep Ohlan, 35.

Percutian pilihan

Sementara itu, Dharamshala, rumah spiritual di Tibet, adalah hentian wajib bagi kebanyakan pelancong yang mencari pilihan yang lebih daripada destinasi pantai dan istana lama.

Pesertanya boleh diatur untuk mengikuti ajaran khusus yang diadakan di kuil utama di bandar atas bukit. Ia menarik orang ramai yang lazimnya terdiri daripada sami-sami dan pelawat khusus.


TIGA warga Utah, Amerika Syarikat ini sedang berseronok dengan gaya yoga di kaki lima kediaman mereka.


Lokasi lain bagi penganut Buddha adalah Bodh Gaya yang bertempat di utara India, Bihar, tempat Buddha dipercayai mencapai pencerahan.

Swami Chidanand Saraswatiji, yang menjalankan salah satu pusat meditasi terbesar di India, Parmath Niketan Ashram di Rishikesh, tahu punca kedatangan begitu ramai orang Barat ke Asia untuk mencari ketenangan.

"Semua orang datang kerana mereka memerlukan keamanan dan kebahagiaan.

"Sejurus berada di sini, mereka mudah mendekatkan diri kerana Rishikesh adalah tempat lahirnya yoga. Di sini anda belajar kaedah untuk menjadi tenang," ujarnya.

Kemahuan dan peluang untuk menilai emosi diri sendiri telah dijadikan sebagai prospek niaga yang baik oleh Eric Grange, pengasas Oasis Voyages. Dia melabel dirinya sebagai satu-satunya agensi Perancis yang khusus dalam 'pengembaraan rohani'.

"Orang ramai tertekan kerana kehilangan tempat rujukan mereka di dunia. Pelancong kini tidak lagi mahu melayan kamera digital mereka, sebaliknya mahu memberi keutamaan melayan jiwa sendiri.

"Oleh sebab itu mereka ke sini. Asia adalah benua kecemerlangan rohani yang terhebat buat mereka," ujarnya.