16 pelumba negara idam kejutan


FAUZAN (dua dari kiri) akan mengetuai cabaran skuad kebangsaan pada perlumbaan LTdL kali ini.


SEJARAH pernah tercipta pada tahun 2010.

Ketika itu, Anuar Manan mencetuskan fenomena baharu apabila melakar kejayaan berganda pada kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL).

Anuar, 27, yang ketika itu menyarung jersi pasukan Guemsan Ginseng Asia mencipta kejutan apabila menjadi pelumba pertama Malaysia yang memenangi satu peringkat perlumbaan.

Pelumba pecut kelahiran Kampung Kuala Ibai, Terengganu itu menguasai peringkat kelima dari Muar, Johor ke Port Dickson, Negeri Sembilan sejauh 111.5 kilometer (km).

Kejayaan tersebut membuka ruang kepada Anuar untuk dinobatkan selaku Raja Pecut pada edisi ke-15 perlumbaan berprestij di Asia berstatus Hors itu.

Bagaimanapun, pencapaian itu hanya tinggal sejarah.

Anuar dan barisan pelumba negara yang lain tidak berupaya untuk mengulangi pencapaian tersebut.

Namun, keazaman mereka untuk mencipta nama dan melakar sejarah baharu pada perlumbaan itu tidak pernah luntur.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) juga tidak pernah kekeringan idea untuk membantu para pelumba membina reputasi masing-masing.

Kini, seramai 16 pelumba negara bersiap sedia untuk menyahut cabaran bagi menonjolkan kejaguhan masing-masing pada edisi ke-18 yang akan membuka tirainya di Kangar, Perlis bermula 21 Februari hingga 2 Mac depan.

Mereka perlu mengerah keringat untuk menyaingi kehebatan pelumba Team Europcar, Pierre Rolland dan Andrea Guardini dari Astana Pro Cycling Team yang merupakan antara 132 pelumba daripada 30 negara yang akan memeriahkan perlumbaan ini.

Rolland, 26, dari Perancis merupakan jaguh pendakian pada Jelajah Perancis manakala Guardini memegang status Raja Pecut LTdL 2011 dan 2012.

Jurulatih skuad lebuh raya negara, Aminudin Sulaiman bertekad untuk menampilkan kelainan dengan mempertaruhkan ramai pakar pendakian berbanding pelumba pecut pada perlumbaan kali ini.

Aminudin berkata, skuad negara mahu memberi tumpuan yang lebih di laluan berbukit, terutamanya pada peringkat pendakian di Genting Hinglands yang diakui paling sukar oleh pelumba-pelumba profesional luar negara.

"Kami akan menurunkan lima pelumba pendaki supaya kami tidak tercicir jauh daripada pasukan lain pada peringkat pendakian di Genting Hinglands.

"Saya tidak kata pelumba negara boleh menang tetapi cuba memberi saingan dan berharap strategi ini mampu memperbaiki kedudukan tahun lalu.

"Gabungan pelumba berpengalaman dan baharu seiring strategi untuk menduduki kelompok 10 pasukan terbaik Asia," kata Aminudin.

Pelumba Malaysia memperoleh suntikan semangat apabila rakan penaja, Telekom Malaysia (TM) Berhad memperkenalkan tiga anugerah baharu tahun ini iaitu Pelumba Pecut Terbaik (Raja Pecut), Pelumba Pendaki Terbaik (Raja Bukit) dan Juara Keseluruhan dilihat mampu menghangatkan lagi pertarungan dalam kalangan pelumba tempatan.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab senada dengan Aminudin.

Abu Samah berharap para pelumba Malaysia menggunakan kesempatan ini untuk mencipta kejayaan selaku pelumba terbaik Asia.

"Meskipun mewakili pelbagai pasukan, termasuk pasukan kebangsaan, mereka perlu ingat bahawa mereka berlumba untuk menaikkan nama Malaysia. Saya harap semua pelumba akan dapat bekerjasama," katanya.

Pada edisi kali ini, Anuar yang menyarung jersi pasukan benua, Synergy Baku Cycling Project (BCP) akan mengetuai cabaran negara.

Selain mahu mengulangi pencapaian tahun 2010, Anuar turut berazam untuk menebus kekecewaan selepas impiannya untuk menyertai bekas pasukan, Terengganu Cycling Team (TSG) tidak kesampaian.

Malaysia pula meletakkan sandaran kepada kayuhan dua pelumba Olimpik, Amir Mustafa Rusli yang mewakili skuad kebangsaan dan Mohammed Adiq Husainie Othman dari Champion System Pro Cycling Team.

Kehebatan Mohd. Harrif Saleh juga perlu diberi perhatian kerana jaguh pecut berusia 25 tahun ini dilabel sebagai pelumba lebuh raya terbaik yang pernah dimiliki Malaysia selepas Anuar.

Harrif sudah pasti mahu membuktikan kehebatannya bagi menebus kekecewaan 'digugurkan' daripada senarai pelumba yang beraksi pada Sukan Olimpik 2012 di London.

"Saya mahu menaiki podium lebih kerap berbanding (LTdL) tahun lepas sebagai tanda penghargaan kepada peminat setia di Terengganu," kata Harrif yang menaiki podium sebanyak dua kali pada edisi 2012 iaitu di tempat ketiga.

Harrif akan bergandingan bersama abangnya, Mohd. Zamri Salleh dalam pasukan TSG yang turut dibarisi Mohd. Shahrul Mat Amin, Mohd. Saufi Mat Senan, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki dan Mohd. Nor Umardi Rosdi.

Kayuhan pelumba berpengalaman negara, Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi tidak boleh dipandang remeh kerana dia mampu melakar kejutan terutamanya apabila bergandingan bersama Amir, Mohd. Nor Rizuan Zainal, Muhamad Rauf Nur Misbah, Yusrizal Usoff dan Muhammad Zulhilmi Afif Ahmad Zamri dalam pasukan kebangsaan.

Dalam pada itu, seorang lagi pelumba berpengalaman, Ng Yong Li yang membuat keputusan menyertai RTS Racing Team turut berkemampuan melakukan kejutan.