Khazanah Kebaya Kampung Cina



DALAM diari hidup wanita warga emas itu, tidak pernah terlintas perkataan cemas untuk menghasilkan pelbagai produk jahitan kepada pelanggan-pelanggannya.

Sejak kecil, perasaan cintanya terhadap seni jahitan sudah tersulam rapi di hati Wee Beng Kim. Dalam kalangan penduduk di Kampung Cina, Kuala Terengganu, Terengganu, Beng Kim lebih mesra dengan panggilan auntie Kim.

Seminggu sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada 29 September 2012 akibat sakit tua, anak kelahiran Kuala Terengganu yang berusia 86 tahun itu sempat menyiapkan sehelai sapu tangan bersulam motif bunga untuk dijadikan kenangan.

Beliau merupakan Cina peranakan generasi kelima yang cukup terkenal dalam penghasilan busana tradisional kebaya atau kebaya potong kot dalam kalangan peranakan Terengganu.

Hasil jahitan busana tradisional Beng Kim yang kemas, penggunaan benang penuh gerawan dan bermutu tinggi menjadikan baju kebayanya diminati pada era 1950-an.

Anak kedua mendiang, Tan Teng Hong, 65, memberitahu, ibunya mula berkecimpung dalam jahitan sulaman sejak berumur 11 tahun.

Minat yang mendalam terhadap jahitan sulaman berputik semasa mendiang ke Singapura pada tahun 1936, tatkala melihat seorang penyulam kebaya menggunakan mesin jahit.

Sejak itu, mendiang jatuh cinta pada seni sulaman sehingga bapanya, Wee Siau Suan menghadiahkan sebuah mesin jahit.


KANAN: Kebaya potong kot pakaian tradisi yang menjadi kebanggaan Cina peranakan Terengganu.


"Ibu tidak menoleh ke belakang lagi dalam memenuhi cinta baharunya dalam seni jahitan sulaman," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Teng Hong memberitahu, ibunya bekerja dari siang hingga malam semata-mata ingin memastikan dapat menguasai jahitan sulaman.

Pada mulanya, mendiang menyulam renda pada pakaian dalam, tetapi lama-kelamaan mula menunjukkan keyakinan sehingga menghasilkan baju kebaya.

Semasa era 30-an dan 40-an, Beng Kim banyak melakukan eksperimentasi terhadap jahitan sulaman seperti menghasilkan alas meja, sapu tangan dan kebaya.

Profesion sepenuh masa

Hanya pada era 50-an, mendiang menjadikan seni jahitan sebagai profesion sepenuh masa.

Ibu kepada lima cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama suaminya, Tan Eng Leong, 88, hanya mempelajari selok-belok jahitan melalui pemerhatian dan latihan sendiri tanpa tunjuk ajar sesiapa.

Mengulas mengenai potong kot, Teng Hong menjelaskan, dahulu busana tradisional itu lebih panjang dan seolah-olah seperti kimono Jepun.

"Orang ramai yang menempah akan memberitahu ingin potong kot. Lama-kelamaan mengikut peredaran masa busana tersebut semakin pendek sehingga menjadi kebaya.


MENDIANG Beng Kim ketika menyiapkan sulaman sapu tangan terakhirnya seminggu sebelum meninggal dunia.


"Kebaya hanya mula diketahui umum sekitar tahun 1970-an apabila kebaya Bandung dari Indonesia dibawa masuk ke Terengganu," ujarnya.

Bagaimanapun, ia tidak kekal lama kerana orang ramai lebih menggemari potong kot. Nama potong kot begitu sinonim sehingga hari ini dalam kalangan masyarakat Terengganu.

"Busana tradisional potong kot cukup popular di Terengganu sekitar era 50-an sehingga 70-an.

"Pada era 80-an, terdapat banyak fesyen baharu diperkenalkan sehingga menyebabkan busana potong kot agak ketinggalan dan tidak berapa digemari," katanya.

Golongan muda juga lebih gemar memadankan pakaian fesyen terkini berbanding potong kot pada tahun itu.

Busana potong kot mempunyai persamaan gaya tradisional yang boleh disesuaikan dalam cuaca lebih panas.

Menurut Teng Hong, pemilihan kain kapas dalam penghasilan potong kot lebih nipis dan agak pendek berbanding kebaya Nyonya Melaka.

"Disebabkan ukuran blaus lebih pendek, rekaan ikatan pinggang semula jadi yang menahan sarung dapat dilihat sekali gus menambahkan keanggunan pakaian tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu, anak keempat mendiang, Justin Tan Teng Tiong, 60, mencelah, terdapat tujuh bahagian yang membentuk sehelai blaus potong kot.

"Ia terbahagi kepada dua lengan panjang, empat kepingan bahagian depan dan satu bahagian belakang dicantum untuk menghasilkan blaus potong kot.

PENGGUNAAN benang yang sesuai penting untuk menghasilkan sulaman yang berkualiti.


"Lazimnya, hujung baju termasuk hujung lengan akan disulam melibatkan motif flora. Kadangkala ibu akan menyelit motif fauna dalam menambah kesenian kebaya berkenaan," ujarnya yang bermastautin di Australia.

Sambil menunjukkan katalog rekaan tahun 1950-an, Justin menambah, sulaman burung layang-layang berwarna biru antara rekaan popular ibunya pada waktu itu.

Selain itu, dia memberitahu, kemungkinan perbezaan ketara yang dapat dilihat pada potong kot berbanding kebaya lain ialah setiap cantuman blaus kebaya terdapat lubang-lubang kecil.

Beli mesin jahit

"Apabila setiap tujuh bahagian siap disulam dan jahit, ibu akan menggunakan mesin jahit yang mempunyai dua jarum mencantumkan kesemua bahagian tersebut.

"Dahulu kena hantar menggunakan kapal. Memang sukar mencantum tujuh bahagian tersebut apatah lagi setiap bahagian terpaksa dihantar ke Singapura," ujarnya.

Bagaimanapun, pada tahun 1952 bapanya telah membeli mesin jahit berkenaan secara terus dari Amerika Syarikat (AS) bagi memudahkan kerja-kerja ibu.

Sambil menguntum senyuman, dia memberitahu, dahulu bapanya terpaksa menulis surat ke AS semata-mata ingin membeli mesin berkenaan kerana tidak ada orang menjual atau membelinya.

Sehingga kini, mesin jahit jenama Singer merupakan satu-satunya yang terdapat di Terengganu masih berada di rumah mendiang.

Teng Hong menambah, kesemua adik-beradiknya tidak mewarisi bakat yang dimiliki mendiang ibu mereka.

Mendiang ibunya seorang yang begitu teliti dalam penghasilan potong kot malah kemahirannya ialah memotong kain tanpa renda.

"Ibu juga sangat pantas melakukan sulaman untuk memastikan ia padat dan kemas sehingga mendapat permintaan tinggi," katanya.

Bahkan, mendiang ibunya sama sekali tidak membenarkan kami adik-beradik memegang gunting cap mata yang didatangkan khas dari Jerman untuk memotong kain.


LUBANG yang membezakan potong kot oleh Beng Kim berbanding kebaya lain.


Mendiang ibunya mempunyai pelbagai koleksi gunting dalam pembuatan potong kot.

Sementara itu, Setiausaha Koperasi Kampung Cina Kuala Terengganu Berhad, Yap Chuan Bin, 62, memberitahu, pemergian Beng Kim merupakan satu kehilangan besar kepada komuniti Kampung Cina.

"Sehingga kini tidak ada orang yang mampu menghasilkan warisan potong kot di Kampung Cina sehebat Beng Kim.

"Saya masih ingat sewaktu kecil, hampir semua penduduk setempat akan menempah potong kot dalam meraikan majlis seperti perkahwinan, Tahun Baru Cina dan majlis rasmi.

"Mendiang akan bertungkus-lumus menghasilkan potong kot untuk memenuhi tempahan agar penduduk dapat memadankan busana baharu mereka," katanya.

Justeru, Chuan Bin amat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menjadikan rumah mendiang sebagai rumah warisan.

Katanya, ia sedikit sebanyak dapat memperingati mendiang dan hasil kerjanya untuk didedahkan kepada generasi baharu.