Gambit dibenci peminat

HARAPAN Gambit agar khalayak lebih pandai mentafsir sebuah perjalanan program realiti yang memang menyelitkan unsur-unsur kompetitif dan provokasi untuk menjadikan rancangan itu lebih menarik.


DALAM satu kaji selidik di sebuah laman internet mendapati 35 peratus daripada 587 pengundi mendakwa mereka benci menonton lakonan Gambit Saifullah. Semua rasa dan komen ini terhambat keluar selepas mereka menonton program realiti keluaran Astro, Fear Factor Selebriti Malaysia yang sedang rancak ke udara kini.

Gambit dan pasangannya Alif Hadi menjadi pasukan yang paling mahu disingkirkan oleh pesaing yang masih tinggal. Bersikap kompetitif dan menjalankan strategi provokasi jelas membuatkan pasangan ini mendapat perhatian positif paling sikit daripada khalayak.

Lebih-lebih lagi Gambit yang dilihat sebagai antagonis dalam Fear Factor ini. Memburukkan keadaan apabila pergaduhan antara Gambit dan Farish turut membuah kebencian dalam hati penonton.

Gambit sedar akan hal itu. Dia tahu dia sedang berkarakter antagonis di mata khalayak. Namun dia mengakui bahawa tidak bermasalah dengan mana-mana peserta program tersebut malah persahabatan dengan Farish masih baik.

"Jujurnya, saya tidak tahu apa-apa tentang arwah bapa Farish yang meninggal kerana lemas. Setelah selesai baru saya tahu," ujarnya yang dilihat tidak sensitif terhadap peserta Fear Factor.

Dalam salah satu cabaran, Gambit menjalankan perang psikologi apabila menyatakan: "Aku harap ada yang akan lemas melakukan aksi ini."

Gambit mendakwa, dia bersikap kompetitif kerana berada dalam sebuah game show di mana semua orang ingin menang.

"Saya tertanya kenapa audiens tidak boleh faham dengan permainan program ini. Mereka terlalu sensitif dan tidak terbuka. Mereka perlu faham istilah game show," kesalnya yang merasakan bahawa penonton perlu memandang daripada sudut produksi dan permainan program.

Pada awalnya, dia mengaku enggan terlibat dalam program realiti ini malah tidak terfikir untuk menjadi antagonis dalam permainan Fear Factor.

"Saya tidak terfikir untuk jadi jahat. Saya tahu permainan game show ini kerana saya juga merupakan seorang produser dan ada produksi sendiri. Sesebuah game show memang mempunyai elemen psikologi. Itu strategi dalam permainan," katanya yang mendapat banyak luahan tidak puas hati dan kebencian di laman sosial, Twitter.

Ditanya tentang persahabatannya dengan selebriti lain dalam Fear Factor, Gambit mengaku mereka tidak bersengketa.

"Saya baik dengan semua orang. Saya tidak tahu kalau mereka terasa tentang psikologi saya tetapi sejauh ini kami baik. Saya dan Farish masih boleh main bola di padang sama-sama. Begitu juga dengan Johan dan Kaka, kami bersahabat," jelas pelakon filem Karipap Karipap Cinta ini.

"Mungkin juga khalayak terbawa-bawa dengan cerita-cerita lama saya yang mengatakan saya poyo dan sombong. Ini lebih menokok tambah rasa benci penonton. Bagus juga untuk permainan Fear Factor. Cara suntingan itu yang menampakkan saya jahat. Tetapi penonton kena bijak mentafsir," senyumnya yang juga mendapat pujian khalayak kerana memberi rencah keseronokan dalam Fear Factor.

Lebih memburukkan keadaan apabila laman peminat Facebook milik Gambit diganggu seseorang yang mengakui sebagai dirinya.

Pengurus Gambit, Lina Merican mendakwa, ada individu menyamar di laman Facebook sebagai Gambit dengan menggunakan nama dan gambarnya.

"Apabila saya letakkan status, dia akan memberi komen dengan carutan dan kata-kata kesat. Walhal itu bukan Gambit. Saya tidak mahu peminat salah sangka dan memberi kesan buruk kepada Gambit," ujar Lina yang sudah membuat aduan kepada ibu pejabat Facebook namun tiada respons.

"Ada juga jenis peminat yang gila nak jatuhkan saya. Saya sedar dan perasan apabila ada isu sahaja pasti 'peminat' ini akan masuk ke laman Facebook dan memberi komen. Memperlihatkan seperti saya memaki peminat," keluh Gambit.

Ditanya tentang perkembangan terkini Gambit, dia yang masih cintakan bidang lakonan sedang mempersiapkan produksinya, Eightball Productions Sdn. Bhd. dengan sebuah program realiti berjudul Sesat.

Kali ini Gambit bertindak sebagai produser, pengarah dan hos.

Bakal dijalankan di Bandung selama dua minggu, Sesat yang akan disiarkan di saluran Astro Ria mengajak dan menduga selebriti tempatan tentang kemahiran mereka dalam melancong.

Selain itu, Gambit juga sibuk mengikuti kelas vokal untuk muncul dengan single kelak dan memilih rock balada sebagai genre nyanyiannya.