Tembok di tapak pembinaan Ukay Perdana runtuh

25/02/2013 7:11pm

KUALA LUMPUR Tembok sepanjang kira-kira 50 meter runtuh akibat hujan lebat petang ini di sebuah tapak pembinaan rumah banglo di Taman Nusa Tropika, Ukay Perdana, di sini.

Seorang pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu, Belinda Mohd. Ishak, 38, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 3 petang, beliau dalam perjalanan ke rumahnya di Bukit Antarabangsa.

"Masa itu hujan lebat sangat. Ketika melalui lokasi kejadian, saya nampak tembok rumah banglo yang sedang dalam pembinaan itu tiba-tiba runtuh beserta bunyi yang kuat.

"Nasib baik tembok itu tak jatuh betul-betul ke atas jalan dan mengenai kereta yang melaluinya, katanya.

Beliau berkata, pada ketika itu dilihat pekerja binaan rumah banglo tersebut bertempiaran lari bagi menyelamatkan diri.

Belinda berkata, selepas kejadian itu, jalan raya di situ menjadi sesak kerana serpihan tembok dan pasir menutupi lorong kiri jalan dan air melimpah akibat paip yang pecah berhampiran kawasan perumahan itu.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati kerja-kerja membersih dilakukan oleh pekerja binaan.

Namun, usaha menemu bual pekerja binaan dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), gagal. BERNAMA