Gigi kemas tanpa dawai pendakap


PENGGUNA menukar aligner baharu setiap dua minggu dan perlu memakainya selama 22 jam sehari.


MEMILIKI barisan gigi yang tersusun rapi merupakan matlamat pemakaian pendakap gigi. Namun, sepanjang proses menyusun, dawai yang melingkari gigi dan disiplin kebersihan mulut menuntut kesabaran pengguna.

Pada bulan Ogos 2012, kaedah baharu mengemaskan susunan gigi, Clearpath memasuki pasaran Asia Tenggara melalui Clearpath Marketing Sdn. Bhd. Sejenis rawatan yang langsung tidak menggunakan dawai, malah jangka masa rawatan dipercepat iaitu antara enam hingga 18 bulan.

Pengarah Perubatan ClearPath Orthodontics Int., Dr. Khaled Abouseda menerangkan, teknologi rawatan bermula dan dipatenkan di Amerika Syarikat sedekad lalu sebelum pemindahan teknologi dibuat di Asia Barat.

Pasaran Malaysia

Kilangnya terletak di Jeddah, Arab Saudi sudah terkenal di negara itu. Biarpun agak lambat memasuki pasaran Malaysia, Singapura dan Indonesia, teknologinya semakin diperbaiki menjadikan Clearpath semakin kehadapan, kata Khaled.

Ketika ditemui pada Persidangan Antarabangsa Pergigian Berkomputer dan CAD/CAM Ketujuh di Marina Bay Sands Hotel, Singapura, Khaled menjelaskan, penjajar gigi (aligner) diperbuat daripada plastik Essix dan mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) bagi menggantikan ikatan dawai pada gigi.

"Dalam tempoh kira-kira sebulan, kes pesakit dihantar ke kilang di Jeddah, seterusnya satu set aligner yang siap akan dihantar kepada doktor.

"Bilangan aligner dalam satu-satu set bergantung kepada masalah gigi yang dihidapi pesakit dengan setiap satunya dipakai dalam tempoh dua minggu," terangnya.

Bahan impresi gigi pesakit dihantar ke Dubai untuk susunan maya dalam masa 12 hari. Susunan maya berfungsi sebagai panduan untuk melihat hasil selepas aligner terakhir dipakai.

Susunan maya yang dijana oleh perisian perubatan yang ada di Dubai merupakan inti pati rawatan Clearpath. Ia menggabungkan ketepatan perubatan dengan pembuatan bersepadu berkomputer CAD/CAM.

Melalui susunan maya, bilangan aligner dan tempoh masa pemakaian ditentukan, apabila siap semua aligner dihantar kepada doktor dalam tempoh 18 hari.

Setiap aligner mempunyai sedikit perbezaan bagi menggerakkan gigi. Pengguna lazimnya berasa tidak selesa dalam tempoh antara 24 hingga 48 jam pertama selepas pemasangan aligner baharu.

Keselesaan pengguna

Pengguna perlu memakai penjajar gigi itu selama 22 jam sehari dan ia boleh dibuka apabila mahu menjamu selera atau memberus gigi. Jadi, tiada lagi masalah makanan tersangkut pada dawai.

"Ia sangat selesa dengan hujung keseluruhan tidak mencecah gusi manakala tebalnya pula, 0.7 milimeter sahaja," kata Pengurus ClearPath Orthodontics Int, Dr. Anand Tuteja pada sesi taklimat yang lain.

Anand menambah, setakat ini semua peringkat umur boleh memakai ClearPath. Pesakit paling muda yang pernah menggunakan kaedah ini berumur 6 tahun dan pesakit paling tua pula berumur 60 tahun termasuk pengguna gigi palsu. Bagaimanapun, kaedah ini tidak boleh dipakai oleh pesakit epilepsi.

Pengedar ClearPath di Asia Tenggara, ClearPath Marketing Sdn. Bhd. melalui pengarah urusannya, Mazdurah Mohd. Zin berkata, pihaknya menyasarkan kira-kira 4,700 doktor gigi dari Malaysia, Singapura dan Indonesia menggunakan teknologi itu kepada pesakit mereka. - ADLAN JAAFAR