Pahang tampil dengan watak sebenar


AZAMUDDIN menjaringkan empat gol ketika membantu Pahang menewaskan Tentera Darat 7-1 pada aksi pusingan kedua Piala FA di Kuantan kelmarin.


TUJUH gol yang dihasilkan oleh Pahang ketika menewaskan Tentera Darat 7-1 pada saingan Piala FA malam kelmarin, memberi keyakinan kepada jurulatihnya, Dollah Salleh bahawa mereka mampu melangkah lebih jauh bagi merealisasikan impian menjulang sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

“Bukan jumlah jaringan yang membuatkan saya berpuas hati tetapi apa yang dipersembahkan oleh para pemain telah memberi keyakinan kepada saya.

“Saya percaya, jika prestasi seperti ini dikekalkan, peluang untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu piala pada musim ini lebih mudah,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Pada perlawanan itu, Pahang berjaya menewaskan Tentera Darat 7-1.

Empat gol disumbat oleh Azamuddin Mohd. Akil manakala R. Gopinathan, Faizol Hussin dan penyerang import, Mohamed Borji masing-masing menyumbat satu gol. Gol sagu hati pasukan lawan dijaringkan Faizal Hamzah.

Dengan kejayaan itu, Pahang melangkah ke suku akhir untuk bertemu Sime Darby selepas skuad berstatus kelab itu menewaskan T-Team dengan keputusan 1-0.

Dalam pada itu, Dollah optimis keupayaan menewaskan Tentera Darat dengan jaringan besar mampu meningkatkan motivasi para pemainnya ketika menghadapi pendahulu Liga Su- per, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jumaat ini pada saingan Liga Super.

Selain itu, beliau turut memuji keupayaan Azamuddin atau lebih dikenali sebagai Alex yang kembali menyengat selepas gagal melakukan sebarang jaringan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Saya harap Azamuddin akan terus menyerlah untuk menggegar gawang lawan.

“Prestasi cemerlang yang dipamerkannya itu diharap menjadi cabaran kepada pemain lain untuk berusaha lebih keras kerana saya hanya memberi tempat kepada pemain terbaik dalam kesebelasan utama,” katanya.