Skuad negara mengecewakan


PRESTASI pelumba skuad negara tidak mencapai tahap yang dikehendaki pada LTdL 2013.


KETUA jurulatih lebuh raya negara, Aminuddin Sulaiman tidak berpuas hati dengan pencapaian pelumba pada kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013.

Aminuddin berkata, sasaran awal untuk menamatkan saingan dalam kelompok 10 pasukan terbaik keseluruhan dan ketiga terbaik Asia tidak tercapai.

Selain itu, impian Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk melihat pelumba negara menyarung Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia gagal direalisasikan.

“Meskipun gagal mencapai sasaran, kami masih boleh berbangga dengan prestasi keseluruhan pelumba negara pada edisi kali ini.

“Mereka masih mampu bertahan, sekali gus menamatkan saingan meskipun terpaksa menghadapi cabaran yang sengit dan perlumbaan yang laju sepanjang kejohanan ini.

“Muhamad Rauf Nur Misbah berjaya membuktikannya hari ini (semalam). Dia berjaya keluar daripada kelompok besar pelumba sebelum ‘ditangkap’ semula pelumba lain.

“Sekurang-kurangnya dia mampu bertahan lebih daripada 70 kilometer. Mereka dapat bertahan dengan baik dan menamatkan perlumbaan kecuali Amir Mustafa Rusli,” katanya.

Aminuddin berkata, sesi lati- han yang singkat menjadi punca utama kegagalan pelumba negara.

“Sukar untuk melihat kelemahan pelumba kerana kami hanya menjalani latihan selama tiga bulan. Sekiranya kami menjalani latihan yang panjang, saya mungkin dapat membaca kekuatan dan kelemahan pelumba.

“Selepas ini, pelumba akan menyertai Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) dan Tour of Taiwan.

“Selepas itu, pelumba akan mengikuti fasa pertama latihan untuk menghadapi Sukan SEA 2013 di Myanmar penghujung tahun ini,” katanya.

Pada perlumbaan kali ini, Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi muncul pelumba terbaik skuad kebangsaan Malaysia selepas menduduki tempat ke-14 individu keseluruhan (Jersi Kuning), diikuti Muhamad Rauf Nur Misbah (ke-42), Yusrizal Usoff (ke-64), Mohd. Nor Rizuan Zainal (ke-69) dan Zulhilmie Afif Ahmad Zamri (ke-92).