Lebih 50,000 terima lesen satu komuniti satu JPJ

03/03/2013 4:43pm

BALIK PULAU Seramai 50,603 calon telah mendapat lesen menunggang motosikal menerusi program 'Satu Komuniti Satu JPJ' (SKSJ) sejak diperkenalkan tahun 2009, kata Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Ismail Ahmad.

Beliau berkata, seramai 2,207 orang di seluruh negara terutama dari kalangan warga emas memperolehnya sejak Januari lepas.

Menerusi program itu, peserta tidak perlu menduduki ujian undang-undang berkomputer selain mereka hanya dikenakan bayaran RM150 berbanding RM350 menerusi proses biasa.

"Setiap negeri telah diarahkan mengadakan tiga program SKSJ tahun ini, kecuali negeri Sabah dan Sarawak yang masing-masing akan mengadakan lima program dan setakat ini sambutan dari masyarakat terutama warga emas sangat menggalakkan," katanya selepas menyerahkan lesen B2 kepada 378 calon yang berjaya di sini hari ini. BERNAMA