Bebaskan daripada mentaliti kelas ketiga


MASYARAKAT negara ini masih rendah kesedaran mereka tentang tanggungjawab menguruskan kebersihan.


PERNAHKAH ketika anda sedang memandu, melihat sampah ‘terbang’ keluar dari kereta di hadapan? Atau ketika anda lalu di bawah kawasan rumah flat tiba-tiba kelihatan bungkusan sampah dicampak dari atas?

Lihat sahaja kenderaan melanggar peraturan lampu isyarat, berhenti di petak kuning dan pemandu yang sihat menguasai lot letak kereta yang disedia khas untuk pemandu kurang upaya. Banyak lagi senarai tabiat buruk kebanyakan rakyat Malaysia itu tetap berterusan.

Selepas melakukan semua perilaku yang menyakitkan hati itu, rakyat Malaysia yang berkenaan masih mampu menyalahkan orang lain. Ia seolah-olah bukan masalah mereka sebaliknya masalah orang lain.

Keadaan kotor di kawasan tertentu dipersalahkan kepada pihak berkuasa tempatan, jenayah di kawasan kejiranan dipersalahkan kepada polis, tandas awam yang kotor dipersalahkan kepada pemilik premis dan begitulah kesalahan terus ditujukan kepada pihak lain.

Sikap mementingkan diri dengan pendekatan tidak apa terhadap kebersihan awam meningkatkan budaya pengotor dalam kalangan masyarakat. Ini jelas menggambarkan mentaliti kelas ketiga yang masih diamalkan kebanyakan masyarakat Malaysia.

Persekitaran kotor

Lihat sahaja di taman-taman rekreasi, di tepi jalan, di dalam longkang, di dalam tandas awam mahupun di dalam lif, ada sahaja sampah daripada sekecil-kecil puntung rokok, plastik bungkusan gula-gula, hingga yang lebih besar seperti polistirena, plastik barang dan tidak ketinggalan lampin pakai buang bayi.

Pengalaman itu dikongsi Ruzilah Kamarudin, 51, yang pernah tinggal lima tahun di kawasan flat kos rendah di ibu negara.

Selain berhadapan masalah berebut tempat letak kereta, paling kritikal sepanjang menyewa di kawasan perumahan itu ialah masalah sampah, katanya.

Di mana-mana akan terlihat sampah. Di tepi lif, dalam longkang, di tangga, di tempat letak kereta, tempat letak motosikal, kawasan laluan pejalan kaki, memberi pandangan yang cukup menjelekkan selain bau yang menyesakkan.

“Kalau nak letak kereta kena berhati-hati sebab selalu terkena sampah yang dibuang dari celah tingkap rumah. Kadang-kadang kuah sisa makanan pun dicampakkan ke bawah. Ada juga yang ambil jalan mudah dengan melonggokkan sampah di tangga sampai berulat sedangkan tempat kemudahan pembuangan sampah disediakan di bawah flat,” katanya.

Dalam pemikiran simplistik mereka, tugas membersihkan kawasan sekitar ialah tanggungjawab pihak penyelenggara yang telah dibayar oleh penduduk setiap bulan.


BANYAK tapak parkir untuk kenderaan orang kelainan upaya disediakan di negara ini namun ia telah disalah guna. - Gambar hiasan


Moral rendah

Moral rendah yang ditunjukkan bukan sahaja dalam hal membuang sampah tetapi boleh dilihat dalam perkara lain. Contoh mudah jika pergi ke pasar raya. Berapa ramaikah yang meletakkan troli yang telah digunakan ke tempat asalnya? Boleh dikira dengan jari. Kebanyakan meninggalkannya begitu sahaja di tempat letak kereta sehingga menghalang laluan kenderaan lain.

Alasannya cukup mudah, pekerja pasar raya itu telah dibayar gaji untuk melakukan tugas tersebut.

Begitu juga ketika berada di jalan raya. Peraturan-peraturan jalan raya, seperti memandu mengikut had laju yang ditetapkan, tidak memotong garisan atau memakai tali pinggang hanya dilakukan sekiranya terlihat penguat kuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan berada di tepi jalan. Ia dilakukan semata-mata kerana takut disaman.

Paling tidak boleh diterima akal adalah apabila ada yang meletakkan kenderaan di tempat letak kereta yang dikhaskan untuk orang kurang upaya (OKU), menurut Wazia Wahid, 36.

Ujarnya, banyak kali perkara tersebut berlaku terutamanya di pusat beli-belah sedangkan telah tertera tanda yang menunjukkan tempat letak kereta itu dikhaskan untuk OKU.

“Tanpa rasa bersalah, keluar dari kereta dan boleh menjawab telefon lagi. Nampak sangat orang itu cacat pemikirannya,” tegasnya.

Mesti ubah sikap

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, ketika melancarkan Rancangan Malaysia Kesembilan pada 2006, merumuskan bahawa rakyat Malaysia, secara amnya, sebagai satu kumpulan yang dilengkapi infrastruktur kelas pertama, tetapi masih berada di takuk lama dengan daya fikir atau mentaliti kelas ketiga.

Jika Malaysia mahu mencapai sebagai negara maju pada tahun 2020, rakyat mesti mengubah sikap dan pemikiran yang diselarikan dengan kesedaran kendiri agar mampu menghadapi sebarang perubahan serta mudah menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran, menurut Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia, Prof. Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din.

Mentaliti kelas ketiga ditakrifkan sebagai kegagalan menggunakan kuasa berfikir sebenar ke tahap maksimum, seimbang dengan kedudukan pemikiran masyarakat yang boleh dianggap maju dan bertamadun.

Ia merangkumi tiga perkara iaitu aspek pemikiran, perasaan dan tingkah laku yang apabila dicantum kesemuanya menunjukkan prestasi moral dan tingkah laku yang rendah.

“Tidak dinafikan pemikiran masyarakat kita masih lagi rendah, penuh dengan ego, susah untuk menerima pandangan orang lain dan menerima realiti. Sebaliknya lebih suka kepada fitnah, tidak telus dan terbuka serta tidak boleh menerima fakta yang betul,” katanya. – Bernama