KBS jelajah 100 lokasi sempena Karnival Belia

09/03/2013 6:27pm

KEMAMAN — Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menjelajah 100 lokasi di seluruh negara dalam tempoh sebulan ini sempena penganjuran Karnival Belia yang antara lain bertujuan menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan belia negara ini.

Karnival yang bermula minggu lalu itu turut melancarkan tabung derma untuk keluarga anggota polis yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, karnival yang digerakkan oleh 100 petugas itu turut disertai barisan artis terkenal seperti Awie, Hattan dan Black untuk mengumpul suara sokongan belia terhadap anggota pasukan keselamatan negara yang kini sedang bertarung nyawa di Sabah.

"Kita mahu perwira negara tahu ramai rakyat Malaysia yang menaruh harapan tinggi kepada mereka dalam mempertahankan kedaulatan negara dan berharap keluarga anggota polis yang terkorban akan terus bersabar.

"Kehadiran pengunjung juga sangat ramai di setiap lokasi sehingga mencapai 10,000 pengunjung membuktikan mereka prihatin dengan isu di Lahad Datu dan berharap ia dapat diselesaikan segera dengan berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Resort World Kijal di sini hari ini.

Kira-kira 50 wakil MPP dari tiga universiti itu mengikuti ”Program Retreat Kepimpinan Mahasiswa 1Malaysia” selama tiga hari yang bermula semalam dan berakhir esok bertujuan membincangkan pelbagai isu semasa berkaitan transformasi pendidikan dan hala tuju negara.

Ditanya mengenai pelaksanaan Parlimen Belia, Ahmad Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata ia terpaksa ditangguhkan selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) selesai.

"Sepatutnya, ia dimulakan pada bulan ini, namun atas beberapa sebab, mungkin ia akan dilaksanakan pada Jun ini.

"Persediaan yang lain semuanya sempurna dan apabila dilaksanakan kelak, Parlimen Belia diharap mampu menjadi suara mewakili golongan itu untuk terus sama-sama menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara,” katanya. — BERNAMA