Gajah putih penjaga negara


GAJAH putih akan berubah warna menjadi merah jambu apabila kulitnya terkena air.


WALAUPUN gajah putih kadangkala membawa konotasi negatif, namun penduduk Thailand dan Myanmar menganggap mamalia itu sebagai haiwan suci.

Pun begitu, ada juga yang mendakwa peribahasa gajah putih itu merujuk kepada sikap bermewah-mewahan raja Siam dahulukala yang sering membuat bangunan kurang berfaedah sehingga dikaitkan dengan haiwan itu.

Daripada kisah kerajaan Siam pada zaman dahulu tersebut, sehingga kini peribahasa tentang gajah putih turut diguna meluas termasuklah dalam bahasa Melayu.

Thailand begitu sinonim dengan gelaran Gajah Putih. Oleh kerana hubungkait antara agama Buddha dengan pengaruh diraja negara tersebut begitu kuat, gajah putih memiliki status dalam sistem raja negara berkenaan.

Milik raja

Hal tersebut berkait rapat dengan kisah mitos Buddha apabila Permaisuri Maya (ibu Buddha) hamil setelah bermimpi seekor gajah putih memasuki badannya.

Menurut seorang penulis budaya Thailand, Roy Cavanagh, bukan kesemua gajah memiliki keistimewaan sehingga kesemua gajah putih seluruh negara harus diserahkan kepada raja.

“Gajah putih merupakan tuah buat negara tersebut kerana hubung kait antara kelahiran Buddha. Undang-undang menyatakan bahawa semua gajah putih adalah milik raja. Bagaimanapun bukan semua gajah akan terpilih untuk mendapat kelebihan untuk digelar sebagai gajah putih diraja.

“Untuk itu beberapa ujian akan dilakukan oleh Biro Kerabat Diraja bagi memastikan bahawa gajah tersebut memiliki sifat fizikal dan tingkah laku. Gajah putih sebenarnya berbeza dengan albino. Ia memiliki warna pucat berbanding gajah lain,” kata Cavanagh.

Cerita tentang misteri gajah putih bukan sekadar berlegar-legar di sekitar negara Thailand sahaja, bahkan ia dianggap sebagai membawa tuah kepada negara Myanmar.


PAGODA UPPATASANTI yang juga merupakan mercu tanda ibu negara Myanmar menempatkan Rumah Gajah Putih di situ.


Rumah gajah

Bagi masyarakat Myanmar, gajah putih dianggap sebagai simbol kuasa politik dan kemakmuran. Apatah lagi haiwan tersebut bukan merupakan gajah albino tetapi benar-benar berwarna putih dan jarang ditemui.

Ketika meraikan Thein Sein sebagai Presiden kesebelas pada Mac 2011, kerajaan Myanmar menyambut beliau dengan kehadiran dua ekor gajah putih. Haiwan tersebut merupakan simbolik kepada tuah melimpah-ruah untuk pemerintah tersebut.

Mereka percaya bahawa haiwan itu akan membawa kekayaan, kuasa dan perubahan politik kepada negara yang didiami oleh lebih 60 juta penduduk itu.

“Dua ekor gajah diraikan secara besar-besaran di Uppatasanti Pagoda, Naypyidaw sempena menyambut kerajaan baharu. Majlis itu telah dihadiri oleh Timbalan Presiden Sai Mauk Kham.

“Sehingga kini kita memiliki tujuh ekor gajah putih di seluruh Myanmar. Empat ekor di Naypyidaw (pusat pentadbiran persekutuan) dan tiga di Yangon (selatan Myanmar) yang akan menjaga negara,” kata seorang pegawai daripada pejabat kerajaan sejurus meraikan kejayaan itu.

Uppatasanti Pagoda merupakan sebuah kuil yang turut menjadi mercu tanda ibu negara baharu Myanmar, Naypyidaw. Bersebelahan berhala bertingkat tersebut dibina sebuah sangkar gajah yang digelarkan sebagai Rumah Gajah Putih.

Rumah gajah yang berkeluasan 335 meter persegi itu dibina dengan gaya seni bina Myanmar. Kawasan seluas 40,469 meter persegi daripada kawasan sekitarnya dibina padang rumput dan kawasan meninjau.

Ia turut mengandungi dua buah kolam dengan air pancut, kebun tebu, pusat kesihatan dan stor makanan demi menjaga kebajikan gajah.

Pengumuman mengenai penemuan beberapa ekor gajah putih pada 2001 dan 2002 di Myanmar turut dilihat oleh ketua pembangkang negara tersebut sebagai tanda sokongan kukuh terhadap parti tersebut.