Scha stereotaip, Elly kunci mulut



JIKA menerusi siri televisyen Awan Dania, penonton dapat menyaksikan gelagat dan telatah Scha Al-Yahya memegang watak utama sebagai Dania, seorang pramugari yang bersikap kasar tetapi baik hati, kali ini menerusi Awan Dania The Movie (ADTM), buat pertama kalinya pelakon tinggi lampai itu digandingkan dengan seorang pelakon berwajah manis, Elly Mazlein.

Dalam filem arahan Rashid Sibir itu, Elly membawa watak Tania, seorang pramugari gedik yang mempergunakan juruterbang Remy (Rusdi Ramli) untuk mendapat gelaran pramugari terbaik.

Sering membawakan watak wanita kasar, Scha dilabel oleh sesetengah pihak mengatakan dirinya seorang pelakon stereotaip. Mengulas mengenai perkara itu, isteri kepada pengacara terkenal Awal Ashaari itu tidak menganggap perkara itu negatif sebaliknya bersyukur kerana pengarah dan penerbit yakin dengan kekuatannya untuk membawakan peranan seperti itu (watak kasar).

"Masalah watak stereotaip ini bukan saya seorang sahaja alami. Ada juga pelakon lain turut berhadapan perkara sama. Sebagai pelakon, saya melihat perkara itu daripada sudut positif.

"Saya sentiasa diberikan peranan sama mungkin disebabkan kekuatan saya mendukung watak tersebut manakala watak serius dan romantik pula lebih sesuai untuk pelakon lain," ujarnya ketika ditemui pada majlis pratonton Awan Dania The Movie di Pavilion, Kuala Lumpur.

Begitupun, ulas Scha, dia juga mahu mencuba watak lain demi membuktikan dirinya seorang pelakon versatil.

Ungkapnya, jika diberi peluang dia sentiasa bersedia untuk menyahut cabaran tersebut demi memantapkan lagi mutu lakonannya.

Ditanya apakah watak lain yang ingin dicubanya, ujar Scha: "Saya tidak ada watak tertentu yang diidamkan tetapi jika diberi peluang untuk watak apa pun saya akan lakukan kerana itu adalah kerja saya sebagai pelakon".

Didukung Rusdi

Bercerita mengenai Awan Dania The Movie, ulas Scha, dia agak gementar apabila pertama kali turun ke set penggambaran filem tersebut di bawah arahan Rashid Sibir kerana mengagumi bakat pengarah tersebut.

Selain itu, ujar duta produk kecantikan Bio Essence itu juga, Awan Dania The Movie berlainan dengan apa yang ditonjolkan dalam drama bersirinya dan ia memerlukannya fokus kepada visi yang dimahukan oleh pengarah.

Mengulas mengenai adegan dirinya didukung oleh pelakon Rusdi Ramli dalam filem tersebut, luah Scha, dia berasa malu kerana faktor tubuhnya yang lebih besar daripada Rusdi.

"Ini adalah pertama kali saya berlakon dengan Rusdi. Saya akui berasa malu dan gementar berlakon dengannya kerana dia seorang pelakon yang berkarisma.

"Malah, ada pula adegan yang memerlukan Rusdi mendukung saya sedangkan saya lebih besar daripada dia. Nasib baik, kami sudah rancang betul-betul untuk menjayakan babak tersebut," ujarnya sambil ketawa.


SATU babak kelakar filem Awan Dania The Movie lakonan utama Scha, Rusdi dan Elly.


Ditebak bagaimana perasaannya apabila Awan Dania The Movie lewat ditayangkan memandangkan siri tersebut sudah lama habis disiarkan di kaca TV, dedah Scha, pada mulanya dia akui berasa bimbang dengan momentum filem tersebut kerana karya tersebut sudah terperap hampir tiga tahun lamanya sebelum ia ditayangkan di layar perak.

Bagaimanapun, dia percaya Awan Dania The Movie mampu menjadi fenomena sepertimana sirinya kerana ia sudah mempunyai pengikut setia drama tersebut.

"Pada mulanya saya takut juga bagaimana sambutan peminat mengenai filem ini. Sepatutnya habis sahaja Awan Dania musim ketiga, filem ini terus ditayangkan.

"Walau bagaimanapun saya yakin dan percaya Awan Dania The Movie mampu mendapat sambutan kerana ia mempunyai pengikut-pengkutnya sendiri," ujarnya yang sehingga kini mengakui ramai yang memanggilnya dengan nama Dania jika berjumpa dengannya.

Elly enggan buka mulut

Beralih pula kepada Elly Mazlein, sebelum ini, dia pernah mengakui bakal ke jenjang pelamin pada pertengahan Disember ini dengan tunangnya, Azmi Hata, 37.

Namun baru-baru ini, ada khabar mengatakan hubungan Elly dengan pengarah drama dan filem itu sedang berantakan. Malah, ada pula khabar yang mengatakan Elly dan pasangannya itu sudah putus tunang!

Diajukan persoalan itu kepada Elly sendiri, ternyata pelantun lagu Bungaku Bakawali itu mengambil pendekatan untuk mengunci mulut dan enggan mengulas mengenai status hubungannya bersama tunang buat masa ini.


RASHID SIBIR (depan duduk, dua dari kanan) bersama karyawan filem Awan Dania The Movie pada majlis tayangan perdana filem tersebut di Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.


"Biarlah perkara itu menjadi rahsia buat masa ini. Bila masa yang sesuai nanti saya akan kongsikan," jelasnya sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pihak media.

Bakal keluar dengan single terbaharu berjudul Sabarlah Hati, ujar Elly, single baharunya itu tiada kena mengena dengan dirinya sebaliknya ia adalah hadiah buat peminat setianya.

"Sudah lama saya tidak menyanyi. Single Sabarlah Hati ditujukan khas buat peminat setia saya. Ia merupakan hasil kerjasama saya dengan KRU Music dan kami jangka lagu ini akan berada di pasaran dalam masa terdekat," tuturnya.

Mengulas mengenai karakternya dalam filem Awan Dania The Movie, Elly memberitahu, wataknya dalam karya Rashid Sibir itu berlainan dengan wataknya sebelum ini.

Ulasnya, sebelum ini dia sering membawakan watak baik tetapi dalam filem tersebut Awan Dania The Movie , dia membawakan peranan sebagai wanita gedik dan manja.

"Saya seronok menjayakan watak Tania dan berharap peminat suka dengan kelainan yang cuba ditonjolkan melalui watak saya kali ini," jelasnya.