Wakil luar negara sertai kursus UMT


BARISAN wakil CCOP yang mengikuti kursus Pendek Berkaitan Geologi Pesisir Pantai dan Pengurusannya di UMT, Kuala Terengganu baru-baru ini.


KONGSI ILMU. Kira-kira 50 peserta dari 13 negara peserta Jawatankuasa Koordinasi Program Geosains Asia Timur dan Asia Tenggara (CCOP) mengikuti Kursus Pendek Berkaitan Geologi Pesisir Pantai dan Pengurusannya di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Gong Badak, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Antara peserta terlibat ialah dari Thailand, Vietnam, China, Korea dan Singapura, Norway, Jerman, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Mereka membincangkan isu pesisir pantai melibatkan perubahan paras air laut, hakisan dan perkara berkaitan dengannya.

Turut hadir ialah Pengarah Institut Oseonografi dan Persekitaran UMT, Prof. Dr. Mohd. Lokman Husain, Pakar Geologi Pusat Kaji Selidik Jepun, Dr. Yoshiki Saito dan wakil CCOP, Dr. Nguyen Thi Minh.