Keharmonian pelbagai suku di Sabah



HARI itu Abdul Majid Arbani, 52, tidak turun ke laut. Sebaliknya dia mengamati pemandangan dari pangkin kayu yang terletak di pinggir pantai Kampung Batu, Tanjung Labian, Lahad Datu.

Sesekali dia tersenyum sendirian dengan membelek topi berwarna putih yang dipakainya sambil membetulkan postur tubuh agar selesa duduk di pangkin kayu tersebut.

"Nelayan dan ombak bagaikan sahabat di lautan luas. Kehidupan nelayan yang keluar mencari rezeki dengan menyabung nyawa di sungai dan laut bukanlah mudah. Pelbagai cabaran perlu dihadapi demi kelangsungan hidup," ujarnya membuka kata.

Terletak kira-kira 140 kilometer dari bandar Lahad Datu, Tanjung Labian terkenal akibat tempias kes pencerobohan pengganas bersenjata dari kepulauan Sulu di Kampung Tanduo sejak 12 Februari lalu.

Malah, jarak perjalanan dari Kampung Tanjung Batu ke Kampung Tanduo hanya empat kilometer memakan masa selama sejam dengan berjalan kaki di pesisir pantai.

Lebih menarik, di Tanjung Labian orang ramai berpeluang melihat dengan jelas beberapa pulau di selatan Filipina yang tidak jauh dari situ.

"Jika cuaca baik dan terang, pasti kamu akan dapat lihat beberapa pulau kecil di selatan Filipina yang berada di depan tanjung ini. Lagipun pulau tersebut tidak jauh dari sini dan boleh menaiki bot pancung sahaja namun ia bergantung kepada keadaan ombak," kata lelaki keturunan Bajau itu.

Dibesarkan di Kampung Tanjung Labian, dia yang mahu dikenali sebagai Pak Majid memberitahu, penduduk di sekitar Tanjung Labian hidup aman dan harmoni dengan suku kaum berlainan seperti Idahan, Suluk dan Bajau.

Tanjung Labian menempatkan empat buah kampung utama iaitu Kampung Tanjung Batu, Tanjung Labian, Kampung Lok Sambuang dan Lok Buani. Rata-rata penduduknya menjalankan aktiviti nelayan sebagai sumber utama kepada ekonomi selain ada yang bekerja di ladang kelapa sawit di Felda Sahabat. Di pesisiran pantai yang bersih dan kecantikan tanjungnya yang terkenal dengan lubuk ikan menjadikan Tanjung Labian antara lokasi tumpuan bagi segelintir para pemancing.

Aktiviti memancing

"Kadang-kadang ada juga orang luar terutamanya kaki pancing berkunjung di sini sebab di sekitar kawasan ini ada lubuk ikan termasuk kerapu, pari dan tenggiri," tegasnya.

Pak Majid memberitahu, dia sendiri pernah membawa beberapa pemancing bagi melepaskan ketagihan memancing.


WANITA ini menjalani kehidupan seperti biasa meskipun pelbagai cerita negatif dimomokkan di Tanjung Labian.


Tindakannya itu secara tidak langsung merancakkan lagi ekonomi segelintir para nelayan selain dapat berinteraksi dengan masyarakat luar.

"Memang seronok apabila ada orang luar datang ke sini kerana kampung ini memang jauh terpencil di dalam Felda Sahabat.

"Mereka juga melahirkan kekaguman terhadap kecantikan pantai dan tanjung-tanjung yang terdapat di kawasan ini terutama pada awal pagi dan lewat petang," kata anak bongsu daripada 12 beradik ini.

Berada di perairan yang berdekatan dengan kawasan sempadan, berdiam di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti sememangnya harus diketepikan.

Biarpun, bimbang dengan kegiatan memancing di sekitar perairan berkenaan kerana dikhabarkan menjadi laluan lanun dari negara jiran, bagi seorang lagi nelayan, Alimudin Omar, 52, berkata, pasukan keselamatan negara terutama Maritim Malaysia, Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am sentiasa menjalankan pemantauan yang rapi.

Masa bersama keluarga

"Bekerja di bawah panas mentari di dalam bot yang dipukul gelombang sepanjang hari memberikan pengalaman berbeza dengan hasil yang tidak menentu dan pulangan tidak seberapa terutama pada musim tengkujuh.

"Bukan mudah untuk menangkap seekor ikan. Namun, saya bersyukur dengan apa yang ada kerana ada orang lain yang lebih susah daripada kita.

"Kami reda dan tetap berasa gembira menetap di kampung ini," tegasnya yang membuat blok bata rumah sebagai kerja sampingan.

Alimudin mendedahkan, bagi melupakan seketika tekanan yang dirasai, kebanyakan penduduk di Tanjung Labian menghabiskan masa bersama keluarga berkelah di pantai tersebut.

"Rata-rata penduduk di kawasan ini mempunyai hubungan persaudaraan antara satu sama lain. Jadi, bila ada masa terluang aktiviti berkelah sememangnya ditunggu-tunggu bagi mengeratkan hubungan antara satu sama lain," cerita Alimudin.


MUHAMMAD GABRIL menunjukkan ikan hasil tangkapannya di tepi pantai Kampung Tanjung Labian.


Realitinya, segelintir kehidupan keluarga nelayan dihimpit kesusahan terutama dari segi infrastruktur.

Namun, kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sentiasa memastikan kehidupan mereka terjamin bagi memastikan kehidupan mereka tidak terpinggir sejauhnya.

Buktinya, Ketua Kampung Tanjung Labian, Mahmood Mallang berkata, pelbagai infrastruktur sedang rancak dibangunkan termasuklah projek tenaga elektrik solar kerajaan bernilai RM132 juta.

"Beberapa buah rumah di kampung ini sudah menerima bekalan elektrik sejak dua minggu lalu. Sebelum ini, para penduduk hanya bergantung penuh kepada sumber elektrik daripada set janakuasa mini yang dibeli sendiri oleh sebilangan penduduk yang berkemampuan.

"Di kampung ini sahaja, terdapat kira-kira 20 set janakuasa yang digunakan penduduk. Jadi, setiap malam apabila janakuasa dihidupkan, kampung ini memang diselubungi bunyi bising daripada set jana kuasa tersebut," katanya.

Tenaga solar

Menurut Mahmood, persekitaran tersebut bakal berubah apabila syarikat utama pembekalan elektrik negeri, Sabah Electricity Sdn. Bhd. sedang rancak menjalankan operasi pembekalan elektrik tenaga solar dan proses pemasangan wayar pada tiang elektrik ke rumah di setiap kampung terlibat dan empat buah sekolah rendah di kawasan tersebut.