Syazwan nafi punca perpisahan Keith, Tyas

SYAZWAN ZULKIFLY berlakon sebagai kekasih Tyas Mirasih dalam filem Laga.


RUANGAN pojok sebuah akhbar tempatan Ahad lalu menyiarkan laporan mengenai perpisahan pelakon dan model terkenal yang mencipta nama di Indonesia, Keith Foo dan Tyas Mirasih yang dikatakan berpunca daripada orang ketiga iaitu pelakon Syazwan Zulkifly.

Syazwan, 26, sebelum ini bergandingan dengan Tyas menerusi filem Laga.

Syazwan yang dihubungi Kosmo! baru-baru ini mengulas lanjut berkenaan gosip yang mengaitkan dirinya sebagai punca perpisahan dua pelakon itu.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Syazwan yang menjawab tentang kontroversi terbabit.

Kosmo!: Mungkin Syazwan boleh komen mengenai kontroversi yang mengaitkan nama anda sebagai punca perpisahan Keith Foo dan Tyas Mirasih?

SYAZWAN: Saya, Tyas dan pihak produksi filem Laga tahu apa yang terjadi dan sepanjang penggambaran tiada masalah antara kami. Apabila timbul cerita sebegini, saya rasa tidak selesa dan kisah percintaan atau perpisahan mereka pun saya dengar daripada Tyas sendiri memandangkan kami masih berhubung sebagai kawan sampai sekarang.

Sejauh manakah perkenalan antara Syazwan dengan Tyas secara peribadinya?

Menerusi filem Laga, Tyas melakonkan watak kekasih saya dan tiada sebarang babak romantik antara kami berdua pun. Saya seronok mengenali dia kerana kami boleh jadi sekepala dan saya sering menumpangkan dia menaiki kereta saya bersama dua orang pembantu peribadinya sepanjang berada di Kuala Kangsar, Perak. Kali terakhir kami bertemu pun tiga minggu lalu ketika dia berada di Kuala Lumpur.

Bagaimanakah pula hubungan Syazwan dengan Keith Foo?

Saya tidak salahkan Keith dan saya juga tidak mengenalinya secara personal. Tapi sebelum ini saya pernah satu kali bercakap dengannya menerusi telefon ketika terdengar khabar angin mengenai hubungan mereka yang semakin renggang melalui Tyas. Tiada kes saya merampas kekasih Keith dan tidak rasa kenapa saya perlu jadi orang ketiga dalam hubungan mereka. Kami tiada masalah dan insya-Allah kami akan digabungkan bersama dalam sebuah drama adaptasi novel pada awal bulan Mei nanti yang turut dibintangi Farid Kamil, Nabila Huda dan Izara Aishah.

Adakah wujud unsur sabotaj yang ingin memecahbelahkan hubungan Syazwan, Keith dan Tyas?

Saya tidak fikir orang dalam produksi yang boleh menyampaikan cerita begini kepada Keith atau Tyas, pastinya pihak terbabit mempunyai akses yang cepat untuk berhubung dengan pihak Keith atau Tyas di Indonesia ketika itu.

Apabila timbul gosip sebegini, adakah ia menjejaskan karier atau kehidupan peribadi Syazwan?

Saya tidak merasakan ia menjejaskan kerjaya atau kehidupan saya cuma gosip sebegini akan ‘menambah nasi’ terhadap kata-kata orang sebelum ini bahawa saya kaki perempuan. Memang betul saya kenal ramai perempuan dan secara peribadinya, saya rasa tidak salah kerana saya juga masih solo.

Apakah tindakan Syazwan selepas ini?

Saya tidak terfikir untuk mengambil sebarang tindakan buat masa sekarang dan biarlah masalah ini diselesaikan sendiri oleh Keith atau Tyas. Cuma saya tertanya-tanya kenapa perlu cakap saya menjadi punca mereka putus cinta?

Apakah perkembangan terkini Syazwan?

Saya baru selesai penggambaran drama bersiri Karlos dan sedang menjalani penggambaran telefilem Wisalah Cinta terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. bersama Zamarul Hisyam dan Lisdawati, kemudian akan ke set telefilem Ad-Din bergandingan dengan Talha Harith.