Natasha sedia dikritik

FIGURA jelita ini nekad melakonkan karakter Amanda dalam filem Langgar kerana baginya karakter itu tidak klise.


LANGGAR, sebuah lagi filem aksi yang bakal menyajikan kualiti lakonan aktor kelahiran Singapura, Adi Putra di samping barisan aktor tempatan berbakat besar antaranya Nam Ron, Hans Isaac, Khir Rahman, Zul Huzaimy dan Natasha Hudson.

Terselit antara pelakon-pelakon lelaki dalam sebuah filem yang menuntut banyak aksi atau babak intim, Natasha juga tidak terkecuali.

Menerusi tayangan awal sedutan 10 minit daripada filem Langgar yang bakal memasuki pawagam seluruh negara menjelang 11 April nanti, salah satu babaknya melibatkan aksi Natasha bersama Nam Ron yang diraba, dipegang dan dipukul di dalam sebuah kelab malam.

Hadir sama ketika sesi tayangan dan pelancaran filem itu di Restoran Carne y Vino, Radius International Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini, Natasha sekadar tersenyum menyaksikan babak terbabit.

Kata Natasha atau nama sebenarnya Natasha Liana Hudson, 31, dia tidak malu untuk menyaksikan lakonannya sedemikian dan perlu profesional terhadap kerjayanya.

"Ramai orang mengetahui perjalanan karier saya dan saya seorang yang profesional dalam menangani situasi begini. Insya-Allah peminat akan memahami keadaan dan kerja saya.

NATASHA HUDSON dan Adi Putra merupakan dua pelakon watak penting dalam filem Langgar.


"Saya tidak mahu perkara seperti ini menjejaskan kerja saya kerana penggambaran filem ini berlaku sebelum saya berhijrah. Ini sebahagian daripada kehidupan saya sebelum ini.

"Babak itu agak kasar sebenarnya tapi saya tegaskan tiada elemen seksual pun cuma terdapat beberapa unsur ganas. Saya sedia menerima kritikan dan saya telah meletakkan sepenuh usaha saya untuk menjayakan watak itu, sudah pasti saya pun mahu menyaksikan kualiti lakonan saya," ujarnya yang baru pertama kali menyaksikan babak tersebut pada sesi tayangan tersebut.

Gadis liar

Natasha menjayakan watak Amanda, seorang bekas penagih dadah dan gadis yang dijumpai oleh Radzi (Nam Ron) kemudian dia dipaksa terlibat dengan bisnes haram sebelum bertemu dengan Nizam (Adi Putra) yang cuba menyelamatkannya.

Memilih untuk menerima tawaran berlakon filem Langgar, kata Natasha, dia sendiri mahu menguji keupayaan membawakan karakter yang tidak klise berbanding sebelum ini.

"Banyak misteri dalam cerita ini sebenarnya dan saya seronok berlakon bersama Nam Ron biarpun baru kali pertama.

"Saya menerima tawaran filem ini kerana watak Amanda. Ini merupakan penglibatan pertama saya dalam filem aksi yang mempunyai jalan cerita yang menarik dan watak tidak klise," ujarnya.

ANAK kesayangan Natasha, Neesa Helena turut menemani ibunya pada majlis sidang akhbar filem Langgar di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Melihatkan kesungguhan dan kelainan watak Amanda lakonan Natasha, pelakon filem Chermin itu mengakui dia membenarkan Nam Ron benar-benar memukulnya.

"Pukul tipu tidak akan memberikan mood yang sebenar dan saya meminta supaya Nam Ron memukul saya betul-betul.

"Sampaikan meninggalkan kesan lebam pada bahagian dahi dan muka kerana terkena cincin yang dipakainya. Tapi saya seronok kerana aksi betul-betul dipukul itu menyalurkan perasaan untuk memberikan yang terbaik," jelas pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu.

Langgar mengisahkan Nizam yang ingin menuntut bela atas kematian isteri dan anaknya akibat dibunuh dengan kejam oleh sekumpulan gengster.

Akhirnya, seorang demi seorang dibunuh oleh Nizam dengan bantuan Radzi demi mencari pembunuh keluarganya. Dalam masa sama Nizam secara tidak langsung terbabit dengan bisnes kelab malam, dadah dan pinjaman tanpa lesen yang diuruskan oleh Radzi.

Suami memahami

Ditanya mengenai respons suaminya apabila menyaksikan filem tersebut kelak, jawab Natasha suaminya yang merupakan seorang penyanyi hip hop, Carleed Khaza memahami situasi berkenaan dan tanggungjawab Natasha.

"Dia (Carleed) sangat memahami dan kami memahami kerja masing-masing. Susahlah kalau tiada persefahaman dan kami tiada kuasa untuk menghentikan apa-apa contohnya penayangan filem ini.

"Saya tidak takut untuk berdepan dengan kemungkinan selepas ini kerana hati saya tahu apa yang saya rasa. Tapi saya melihat situasi ini dalam perspektif berbeza dan meletakkan diri sebagai seorang pelakon yang ghairah terhadap kerjaya saya," katanya yang tidak akan berlakon babak sedemikian selepas ini.