1,001 keunikan UPM

UMPAMA zoo. Itulah gambaran keadaan ladang rusa di UPM.


POKOK buah-buahan, ladang sayur-sayuran, tumbuhan yang menghijau umpama mengalu-alukan kedatangan tetamu ke Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

Terletak di tengah-tengah kesibukan antara Kuala Lumpur dan Putrajaya, berkeluasan 1,108 hektar, UPM mempunyai potensi besar menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.

Universiti penyelidikan itu mempunyai banyak lokasi menarik, prasarana dan keindahan landskap serta keunikan alam yang tersembunyi. Bahkan, institusi itu juga mampu membuatkan pelancong teruja meneroka sambil memperoleh ilmu-ilmu baharu.

Taman Konservatori Pertanian, Muzium Anatomi Manusia, Pusat Ekuin, ladang rusa, lembu dan kambing antara sebahagian tarikan yang boleh dikunjungi.

UPM ditubuhkan sebagai sebuah Sekolah Pertanian pada 21 Mei 1931 di kawasan seluas 8.8 hektar di Serdang.

Ketika itu hanya dua program ditawarkan iaitu Program Diploma tiga tahun dan Program Persijilan setahun di dalam bidang pertanian. Tanggal 23 Jun 1947, Sekolah Pertanian tersebut telah dinaik taraf sebagai Kolej Pertanian Malaya oleh Sir Edward Gent, Gabenor Malayan Union ketika itu.

Penubuhan Universiti Pertanian Malaysia tercetus apabila Sekolah Pertanian di Serdang itu bergabung dengan Fakulti Pertanian, Universiti Malaya pada tahun 1973.

Pada 3 April 1997, namanya

ditukar ke Universiti Putra Malaysia. Sebelum ini, institusi pengajian tinggi di negara ini hanya dikunjungi golongan tertentu sahaja seperti pelawat akademik atau ibu bapa yang melawat anak-anak di asrama atau pada hari konvokesyen. Namun seiring dengan perubahan zaman, orang ramai berpeluang meneroka keunikan universiti.

“Melalui edu-pelancongan, pelancong dari dalam dan luar negara bukan sahaja dapat menikmati keindahan dan kemudahan di UPM, malah mendapat ilmu sepanjang lawatan tersebut,” kata Timbalan Pengarah Bahagian Sumber Agribio, Putra Science Park, UPM, Profesor Madya Dr. Faridah Qamaruz Zaman.

Edu-pelancong dipelopori oleh UPM yang bermaksud melancong sambil belajar. Menurut Faridah, salah satu tarikan utama ialah Taman Konservatori Pertanian yang berkeluasan dua hektar. Taman ini berfungsi sebagai lokasi penyelidikan, pembelajaran, rujukan dan rekreasi alam.


PELAWAT juga berpeluang memberi lembu tenusu makan, melihat proses memerah susu rumput atau sekadar bergambar.


Menariknya, taman ini mempunyai lebih 500 spesies yang dibahagikan kepada 10 zon iaitu halia, tumbuh-tumbuhan ubatan, paku-pakis, ulam-ulaman, tumbuhan akuatik, orkid liar, periuk kera, keladi, rempah ratus dan tumbuhan wangian.

Berada di taman ini, timbul rasa teruja apabila melihat pelbagai tumbuhan eksotik dan fungsinya.

Adakalanya, tumbuh-tumbuhan tersebut sering kita lihat dan kehadirannya tidak dihargai tetapi apabila berada di taman ini dan mengetahui keistimewaan daripada jurupandu terasa pula rasa menyesal.

“Kalau sekadar berjalan mengelilingi taman ini, setengah jam sahaja sudah cukup tetapi jika mendengar penerangan tentang tumbuh-tumbuhan yang kami berikan pasti lebih satu setengah jam.

“Bagi memudahkan pengunjung, kebanyakan spesies telah diletakkan maklumat mengenainya termasuk nombor tertentu. Selain itu, taman ini turut dilengkapi kemudahan pelayaran internet WiFi bagi membolehkan pelawat mengakses laman web www.acp.upm.my.

“Laman web ini memaparkan maklumat lengkap berserta gambar spesies tumbuhan tertentu dengan memasukkan nombor setiap pokok,” kata Penolong Pegawai Pertanian Kanan yang juga penyelaras taman tersebut, Tajuddin Abdul Manap.

Ladang lembu

Kawasan ladang yang luas memberi kelebihan kepada UPM untuk menternak lembu. Terdapat dua ladang lembu iaitu lembu tenusu dan lembu daging.

Tatkala memasuki kawasan ladang ini, keluasan kawasan ladang yang berbukit memberikan suasana pemandangan menarik. Jadi tidak hairanlah, ia menjadi pilihan orang ramai bergambar termasuk pasangan raja sehari, penerbit drama atau filem dan iklan.

Di kandang lembu tenusu, pengunjung berpeluang untuk melihat proses memerah susu, memberi minum susu kepada anak lembu atau sekadar mengambil gambar.

Ladang rusa

Tidak seperti zoo, ladang rusa UPM berfungsi sebagai pusat penyelidikan, pembelajaran, pengeluaran dan untuk dijual.

Terdapat 200 ekor rusa di ladang tersebut. Melihat gelagat rusa mandi-manda di tepi kolam, berkejar-kejaran atau berehat di bawah pokok secara tidak langsung membantu menghilangkan tekanan akibat beban kerja di pejabat.

Jangan terkejut, terdapat dua ekor anak rusa jinak di ladang ini yang mesra pengunjung. Pengunjung juga berpeluang bergambar secara dekat dan memberinya minum susu botol.

MEMBERI anak rusa yang jinak ini minum susu merupakan satu pengalaman menyeronokkan.


Pengunjung juga boleh membeli daging rusa pada harga RM35 sekilogram atau seekor antara RM1,200 hingga RM1,600. Namun, jualan hanya dilakukan jika bilangan rusa berlebihan di ladang tersebut.

Muzium Anatomi Manusia

Adakah anda seorang yang lemah semangat? Jika ya, anda perlu memikirkan sama ada hendak masuk atau tidak ke Muzium Anatomi Manusia. Bagaimanapun, ia sesuatu yang merugikan jika tidak melawat muzium ini kerana banyak maklumat berharga boleh diperoleh.

Di muzium ini, pengunjung berpeluang mengetahui anatomi dan fungsi-fungsi organ seperti jantung, paru-paru dan tulang.

Selain, melihat model-model rekaan, model sebenar manusia yang diawet turut dipamerkan bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan.

Jurupandu atau koordinator muzium terdiri daripada pelajar perubatan atau staf Jabatan Anatomi Manusia, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM bersedia memberikan penerangan berkaitan bahan-bahan pameran. Bagi ibu bapa yang membawa anak-anak, muzium ini secara tidak langsung memberi mereka pendedahan tentang dunia kedoktoran.

Pusat Jualan

Ketika melancong tidak sah jika tidak membeli barangan buah tangan untuk dibawa pulang. Kunjungilah Pusat Jualan Taman Pertanian Universiti yang menawarkan pelbagai barangan jualan termasuk anak benih pokok seperti durian, belimbing dan rambutan.

Di pusat itu juga, pelbagai hasil pertanian keluaran UPM seperti sayur-sayuran, buah-buahan, susu lembu, kambing dan daging dijual pada harga berpatutan.