Nicol ke pusingan kedua


NICOL dijadualkan bertemu pemain Mesir pada pusingan kedua.


RATU skuasy negara, Datuk Nicol David berdepan cabaran sengit pada aksi pertama dalam misi mempertahankan kejuaraan buat kali kesembilan pada Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur-CIMB 2013.

Pada aksi di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil semalam, Nicol dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menundukkan pemain Afrika Selatan, Siyoli Waters 11-6, 11-8, 11-6 untuk mara ke pusingan kedua.

“Corak permainan yang ditunjukkan Waters sangat berbeza dengan pemain lain dan itu membuatkan saya terpaksa bekerja lebih keras seawal set pertama.

“Meskipun saya sudah biasa bermain di gelanggang ini, saya masih mencari rentak terbaik terutama membaca lantunan bola.

“Waters juga sama seperti saya. Bekerja keras menyesuaikan diri dengan gelanggang,” kata pemain No. 1 dunia itu.

Pada pusingan kedua, Nicol dijadualkan bertemu Omneya Abdel Kawey dari Mesir.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu akan mengekalkan rentak permainan terutama aspek pengawalan dan kepantasan bola.

“Tidak banyak yang akan saya ubah kecuali mengawal bola agar ia melantun dengan lebih baik. Selebihnya, terpulang pada keadaan,” katanya yang hanya mengambil masa selama 31 minit untuk menewaskan Waters.

Dalam pada itu pemain No. 2 lelaki negara, Mohd. Nafiizwan Adnan berjaya menempah slot ke pusingan pertama selepas menewaskan Harinder Pal Sandhu dari India.

“Pertarungan seperti yang dijangka iaitu amat sengit dan saya akui, ia agak sukar untuk saya mengekalkan penguasaan gelanggang pada beberapa ketika.

“Bagaimanapun, permainan saya lebih baik berbanding semalam (kelmarin) dan gembira momentum saya kini kembali berada di tahap yang diharapkan,” ujar pemain berusia 26 tahun itu.

Bagi saingan esok (hari ini) saya tidak mahu begitu memikirkanya dan paling penting, saya terus kekal dengan corak permainan saya.

“Saya tidak mahu tertekan dengam memikirkan siapa lawan saya kerana meskipun dia bagus, saya percaya setiap pemain ada masa baik dan buruknya,” tambah Nafiizwan.