Pasukan petugas bantu sektor pelancongan Sabah

28/03/2013 11:04pm

KUALA LUMPUR - Sebuah pasukan petugas akan ditubuhkan bagi membantu memulihkan industri pelancongan di Sabah yang terjejas akibat ancaman pengganas di Lahad Datu.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, pasukan itu akan diwakili kementeriannya, Lembaga Pelancongan Sabah serta pengusaha industri pelancongan di Sabah. Pasukan itu berperanan memastikan promosi yang lebih agresif selain menunjukkan kepada dunia bahawa Sabah masih selamat untuk dikunjungi.

"Kami sedang bekerja keras untuk menangani situasi ini. Yang pertama, kita akan undang rakan media untuk melawat Sabah terutama Sandakan, Tawau dan Semporna agar mereka dapat lihat sendiri kestabilan di situ.

"Yang kedua semua acara pelancongan di Sabah seperti Regatta Lepa Lepa yang akan diadakan di Semporna pada minggu terakhir April, akan berlangsung seperti dirancang, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Festival Kasut Antarabangsa Malaysia (MISF) 2013, di sini hari ini.

Ng berkata berdasarkan kajian oleh kementeriannya, kadar penginapan hotel di Sabah turun 35 peratus termasuk di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau, selepas kejadian pencerobohan itu. - Bernama