Serangan tanpa belas Azazil

KEMUNCULAN Aishah membuatkan Azazil mengganas membunuh penduduk kampung.


KALI pertama mengarahkan filem bergenre seram, Khabir Bhatia menyuntik kelainan dengan menampilkan elemen fantasi yang banyak bermain transisi jalan cerita tanpa jangka.

Filem Sembunyi: Amukan Azazil meletakkan tanda aras filem seram berkualiti lakonan hebat Diana Danielle, Remy Ishak, Sharnaaz Ahmad dan Umie Aida. Ia mengisahkan seorang gadis kampung semasa zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu bernama Aishah yang telah bangkit daripada pengsan dan menyedari dirinya berada di sebuah kampung misteri.

Selain itu, filem aksi G.I. Joe: Retaliation turut menemui kaki wayang pada minggu ini. Filem sekuel daripada G.I. Joe: The Rise of Cobra menampilkan cabaran aksi yang lebih dahsyat apabila pasukan unit khas itu perlu berdepan dengan Zartan yang menyamar sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Turut menemui penonton, filem aksi hebat berbahasa Kantonis arahan Herman Yau berjudul Ip Man - The Final Fight dan sebuah lagi filem aksi lakonan mantap Andy Lau, Switch.

Sembunyi: Amukan Azazil

Tarikh tayangan: 28 Mac 2013

Durasi: 1 jam 50 minit

Genre: Seram, Fantasi

Pengarah: Kabir Bhatia

Pelakon: Diana Danielle, Remy Ishak, Umie Aida, Sharnaaz Ahmad, Fizo Omar

Sinopsis: Aishah (Diana Danielle) adalah seorang gadis muda yang hidup ketika zaman penjajahan Jepun. Dalam percubaannya untuk melarikan diri daripada askar Jepun, Aishah dipukul sehingga pengsan dan apabila tersedar, mendapati dirinya berada di sebuah kampung yang sunyi. Dia diberikan tempat berlindung oleh orang kampung dan memulakan hidup baharunya di sana. Tidak lama selepas itu, Aishah mula menyedari bahawa kampung tersebut mempunyai rahsia tersendiri. Aishah sering didatangi seorang kanak-kanak perempuan cacat yang tidak dapat dilihat oleh orang lain. Dia juga mendapat tahu bahawa satu roh jahat yang tidak diketahui asal-usulnya mendiami kawasan hutan di kampung itu. Roh yang dikenali sebagai Azazil itu sering memburu orang kampung. Kampung yang pada mulanya aman kerana penduduknya selalu membuat pelawaan makan kepada Azazil akhirnya menjadi kucar-kacir sebaik sahaja Aishah menjejak kakinya di sana.

Ip Man - The Final Fight

Tarikh tayangan: 28 Mac 2013

Durasi: 1 jam 40 minit

Genre: Aksi

Pengarah: Herman Yau

Pelakon: Anthony Wong, Huang Yi, Eric Tsang, Gillian Chung, Jordan Chan, Anita Yuen

Sinopsis: Pengarah Herman Yau dan penerbit Checkley Sin yang bertanggungjawab untuk The Legend Is Born - Ip Man kembali untuk menghasilkan Ip Man - The Final Fight. Filem ini mengisahkan pertarungan terakhir Ip Man semasa dia berumur 40-an sehingga kematiannya. Pelakon Anthony Wong, pemenang dua kali anugerah pelakon terbaik Hong Kong akan memainkan watak Ip Man. Anita Yuen, pemenang anugerah pelakon perempuan terbaik Hong Kong pula akan berlakon sebagai isteri Ip Man.

G.I. Joe: Retaliation

Tarikh tayangan: 28 Mac 2013

Durasi: 1 jam 50 minit

Genre: Aksi, Pengembaraan, Sains Fiksyen

Pengarah: Jon Chu

Pelakon: Channing Tatum, Dwayne Johnson, Bruce Willis, Adrianne Palicki, Ray Park, Lee Byung-hun, Ray Stevenson, Arnold Vosloo

Sinopsis: Pengarah Jon Chu (Step Up 3D) dibawa masuk untuk mengarahkan filem sekuel G.I. Joe. Pasukan G.I. Joe harus menghalang Zartan (Arnold Vosloo), Storm Shadow (Lee Byung-hun) dan Firefly (Ray Stevenson) dalam filem ini. Tetapi misi kali ini bukannya mudah kerana Zartan menyamar sebagai Presiden Amerika. Semua pemimpin dunia terpaksa mengikut arahannya dan dunia hampir terjerumus dalam peperangan. Zartan ingin melancarkan senjata nuklear ke atas rakyat awam. Pasukan G.I. Joe turut berdepan cabaran untuk menentang pengganas lain seperti Snake Eyes (Ray Park) dan Storm Shadow semasa perguruan mereka dengan Blind Master.

Switch

Tarikh tayangan: 28 Mac 2013

Durasi: 1 jam 30 minit

Genre: Aksi, Drama

Pengarah: Jay Sun

Pelakon: Andy Lau, Lin Chi Ling, Zhang Jing Chu

Sinopsis: Sebuah lukisan terkenal dari negara China berusia lebih 300 tahun akan dipaparkan di dua buah negara secara serentak iaitu di China dan Taiwan. Pameran itu menarik perhatian banyak pihak termasuk penjenayah. Lukisan itu, bagaimanapun telah dipecahkan kepada dua bahagian untuk dipertontonkan buat pertama kali kepada orang awam. Pencuri, karyawan dan kumpulan gengster semuanya menyimpan hasrat untuk memiliki lukisan tersebut.