Impak sindrom Stockholm


RODWELL, tebusan warga Australia diculik oleh kumpulan pengganas di selatan Filipina selama 15 bulan berjaya diselamatkan pada 23 Mac lalu.


MANUSIA merupakan makhluk yang adakalanya sangat sukar dihuraikan. Adakalanya kita membenci seseorang yang menyukai kita, tetapi ada pula waktunya kita menyukai orang lain yang asalnya merupakan musuh.

Inilah yang berlaku dalam pelbagai kejadian jenayah seperti penculikan dan penderaan.

Walaupun pada mulanya mereka membenci penculik yang melakukan sesuatu yang buruk ke atas diri mereka, tetapi pada akhirnya mereka memberikan simpati kepada penculik.

Ia merupakan fenomena yang cuba menggambarkan bahawa manusia ini merupakan makhluk yang sangat aneh.

Fenomena menyukai penculik itu dikenali sebagai sindrom Stockholm, bahkan mereka juga didapati sangat taat kepada penculik.

Nama sindrom itu diambil daripada satu peristiwa penculikan ke atas empat orang mangsa yang berlaku di sebuah bank di Stockholm, Sweden pada tahun 1973.

Selepas enam hari diculik, mangsa didapati menolak untuk diselamatkan oleh pasukan penyelamat. Bahkan, mereka juga menolak untuk memberikan keterangan ke atas penculik.

Belas kepada penculik

Terbaru, Warren Rodwell, 54, seorang warga Australia yang baru sahaja dibebaskan oleh kumpulan penculik Abu Sayyaf di selatan Filipina memberikan keterangan yang bertentangan dengan apa yang dilaporkan oleh pihak berkuasa Australia dan Filipina.

Tatkala kedua-dua kerajaan menyatakan bahawa tiada sebarang pembayaran penebusan dilakukan, Rodwell sebaliknya menyatakan bahawa ada pihak yang membayar untuk membebaskannya.

Sindrom Stockholm juga berlaku ke atas, Toshio Ito seorang warga Jepun yang diculik oleh kumpulan sama di Pulau Pangutaran, Sulu.

Dia kini dikatakan menjadi sebahagian daripada kumpulan tersebut dengan bekerja sebagai tukang masak. Mengapa sindrom ini boleh berlaku?

Umumnya, bagi kebanyakan mangsa yang diculik, mereka percaya bahawa mereka tidak ada peluang sedikit pun untuk melarikan diri. Pilihan yang mereka ada hanyalah hidup atau mati.

Jadi, untuk menghindar daripada dibunuh, mereka terpaksa taat dengan arahan penculik. Bagaimanapun, sepanjang proses penculikan, penjenayah kemudiannya akan dilihat sebagai manusia budiman bukan sahaja kerana memberikan peluang untuk mangsa meneruskan hidup, tetapi apabila memberikan mereka layanan yang baik.

Walaupun sindrom ini biasanya sering dikaitkan bagi menghuraikan hubungan antara penculik dan mangsa, tetapi hakikatnya ia berlaku dalam kehidupan manusia yang lain.

Orang disayangi

Kita sering mendengar ada isteri yang telah didera atau dipukul dengan teruk oleh pasangannya. Penderaan juga mungkin dilakukan oleh orang dewasa terhadap anak-anak mereka.

Sekalipun mengalami penderitaan, mereka tidak mengadu hal tersebut kepada orang lain atau melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Dalam sesetengah keadaan, walaupun ada kes yang telah diadukan kepada pihak mahkamah, mangsa dera cuba menghindar untuk memberikan keterangan secara jujur dengan alasan masih menyayangi pasangan atau suspek.

Perasaan sayang itu muncul secara psikologikal kerana mereka beranggapan ada masanya mereka masih dilayan secara baik.

Mereka yang mempunyai pasangan terlibat dengan penagihan dadah misalnya, sanggup untuk menggadaikan barang kemas atau memberikan sebahagian daripada sumber pendapatan mereka bagi membolehkan pasangan mereka terus mendapatkan bekalan dadah.

Ketaatan secara melampau berkenaan adalah disebabkan mereka percaya bahawa itulah sahaja cara yang mereka ada untuk mengelak daripada diperlakukan dengan lebih teruk lagi.

Sebab itu, sekiranya ada pembaca yang terperangkap dengan fenomena seperti ini, baik dalam hubungan dengan pasangan atau berhadapan dengan masalah rumah tangga, mereka perlu menyedari bahawa adakalanya perasaan sayang itu hanyalah sekadar perangkap psikologikal sahaja.

Setiap orang sebenarnya mempunyai banyak peluang untuk terus terselamat daripada kongkongan orang lain.

Bagaimanapun, mereka perlu terlebih dulu membebaskan psikologi mereka daripada mempercayai bahawa mereka tidak mempunyai sebarang peluang untuk membebaskan diri.