Beyonce jadi tumpuan di Havana


BEYONCE (memegang kamera) dan Jay-Z yang memakai topi bersiar-siar di Old Havana di Havana kelmarin.- AP


HAVANA - Kehadiran pasangan penyanyi terkenal dari Amerika Syarikat, Beyonce dan Jay-Z di Cuba menjadi tumpuan sejumlah peminatnya di sini kelmarin.

Beyonce dan Jay-Z berada di sini bagi menyambut sambutan ulang tahun perkahwinan mereka yang kelima.

Sejumlah peminat sanggup menunggu mereka di luar sebuah hotel bagi melihat kedua-dua selebriti tersebut bersiar-siar.

Pada malam Rabu lalu, mereka turut dikerumuni puluhan peminat di restoran La Guarida.

Beyonce yang berusia 31 tahun itu memakai pakaian berwarna kuning dengan corak hitam dan putih manakala Jay-Z, 43, memakai baju berlengan pendek dan berseluar pendek sambil menghisap sebatang cerut.

Beberapa anggota polis turut mengawal orang ramai yang berasak-asak untuk menyaksikan kedua-dua selebriti tersebut semasa mereka bersiar-siar di sini.

Kedua-dua mereka turut dikawal beberapa pengawal peribadi.

Sebahagian peminat mengambil kesempatan merakamkan gambar kedua-dua selebriti tersebut dengan menggunakan telefon bimbit.

Pasangan tersebut berkahwin pada 4 April 2008 dan mereka dikurniakan seorang anak, Blue Ivy Carter. - Agensi