Lapan cedera ditembak lelaki bertopeng

JOHOR BAHRU - Niat seorang pemilik restoran menjemput beberapa kenalannya untuk mencuba menu baharu bertukar tragedi apabila premis yang terletak di Jalan Dedap 24, Taman Johor Jaya itu dihujani peluru menyebabkan lapan orang cedera semalam.

Mangsa yang cedera dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi itu ialah pemilik restoran berkenaan yang dikenali sebagai Teo, enam rakannya dan seorang pekerja restoran warga Nepal.

Teo, 47, memberitahu, dia menjemput rakan-rakan karibnya untuk menikmati menu baharu berasaskan ikan segar di restoran miliknya.

"Untuk memastikan hidangan itu disukai oleh pelanggan, saya mahu rakan-rakan saya mencubanya terlebih dulu namun tidak menyangka kami ditembak ketika menikmati hidangan.

"Sehingga kini saya masih tertanya-tanya motif kejadian itu," katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail di sini semalam.

Dalam kejadian itu, Teo terkena dua das tembakan di badan dan lutut kiri manakala pekerjanya pula terkena lima das tembakan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainudin memberitahu, siasatan mendapati tiga suspek memakai topeng yang menaiki sebuah kereta melepaskan 13 das tembakan ke arah restoran berkenaan dan terkena kelapan-lapan mangsa tersebut.