Range Rover Sport: Lasak, Sporty dan Premium


MULAI tahun 2014, barisan enjin Range Rover Sport akan ditambah dengan 3.0 liter TDV6 berkuasa 258PS dan enjin berprestasi 4.4 liter SDV8 diesel berkuasa 339PS.


SEKADAR untuk berkongsi, semasa saya kecil dahulu, ada sebuah kereta yang langsung saya tidak gemar. Reka bentuknya kurang cantik, berkotak dan rasanya tiada ruang langsung untuk saya menyukai kereta tersebut.

Tidak berapa lama kemudian kereta itu berada di bawah bumbung parkir rumah selepas seorang saudara meminjamkannya. Sempatlah juga menjadi kenderaan rasmi keluarga saya untuk beberapa bulan.

Nama kereta itu ialah Range Rover dan waktu itu tidak wujud lagi terma SUV. Pada waktu itu, Range Rover ialah sebuah SUV yang canggih dan mewah. Saya yang masih hingusan begitu kagum dengan teknologi yang ada pada SUV itu. Kagumnya saya hinggakan siap bertanya pada guru bahasa Inggeris apa maksud Range Rover.

Land Rover yang menjadi pengeluar model tersebut kemudian melalui zaman peralihan pemilik. Daripada satu ke satu syarikat hinggalah sekarang ia dimiliki oleh Tata Motors, India.

Selepas kejayaan dizahirkan oleh model Range Rover Evoque, kini Land Rover memperkenalkan pula Range Rover Sport yang katanya merupakan model Land Rover paling pantas, lincah dan responsif.

Dibangunkan bersama-sama Range Rover standard, model Sport itu mempunyai ciri pemanduan dinamik dan masih mengekalkan kemampuan untuk meredah permukaan off-road.

Ruang dalamannya pula semakin mewah. Lebih menarik lagi, Range Rover Sport mempunyai konfigurasi tempat duduk 5+2. Bukan itu sahaja, model baharu itu juga lebih ringan berbanding model Sport lama hasil daripada penggunaan struktur yang diperbuat daripada aluminium.

“Range Rover Sport baharu ialah kenderaan yang telah direka dan dijuruterakan tanpa kompromi. Dengan kebolehan Land Rover sebagai paksi utama, ia merupakan kenderaan paling fokus kepada pemanduan yang pernah kami hasilkan. Pada masa yang sama tetap mengekalkan keupayaan off-road.

“Inilah kenderaan yang direka untuk dipandu. Kami telah meningkatkan pemanduan, pengendalian dan kelincahan ke tahap yang lain bagi memberi pengalaman pemanduan yang menyeronokkan. Di samping kemewahan, kemampuan dan versatility,” jelas Pengarah Jenama Land Rovel Global, John Edwards.

Peralatan unik

Dengan reka bentuk baharu, Range Rover Sport kini lapan peratus lebih aerodinamik berbanding Range Rover Sport lama dengan bacaan Cd sebanyak 0.34. Model baharu itu adalah 149mm lebih pendek, kurang 55mm daripada model Range Rover standard.

Menariknya, perbandingan yang dibuat menyaksikan model sport lebih ringan berbanding model biasa. Walaupun dibangunkan bersama-sama Range Rover standard dan berkongsi peralatan, hakikatnya model sport mempunyai 75 peratus peralatan unik, satu jumlah signifikan yang membezakan rasa dan reka bentuk berbanding model standard.


RUANG dalaman SUV premium ini memang sangat mewah.


Buat permulaan, pelanggan diberi dua opsyen enjin iaitu 5.0 liter supercharged V8 petrol berkuasa 510PS dan 3.0 liter SDV6 diesel berkuasa 292PS.

Mengikut perkembangan semasa, enjin diesel hibrid juga akan turut ditawarkan kepada pembeli.

Dari segi pecutan ke 97km/j pula, masa yang diambil bermula dari lima saat untuk kesemua varian enjin. Semua enjin petrol dan diesel Range Rover Sport dipadankan dengan transmisi canggih kawalan elektronik ZF 8HP70 lapan kelajuan automatik.

Teknologi casis yang digunakan pada model itu tidak kurang canggihnya. Sebagai contoh, Adaptive Dynamics yang menggunakan continuously variable dampers (CVD). Bagi model yang lebih berkuasa, sistem Dynamic mode pada Terrain Response(R) 2 System dipasang untuk pemanduan yang lebih jitu di atas jalan raya.

Sistem itu digabungkan dengan twin-channel Dynamic

Response Active Lean Control, Dynamic Active Rear Locking Differential dan Torque Vectoring by Braking pula mengalihkan tork pada tayar bahagian luar semasa selekoh dan mengurangkan understeer.

Model baharu itu turut mempunyai sistem kamera digital yang memberi bantuan kepada pemandu menerusi ciri seperti Lane Departure Warning, Traffic Sign Recognition dan Automatic High Beam Assist. Satu lagi ciri inovasi unik pada model Sport ialah Wade Sensing yang memberi informasi tentang kedalaman sewaktu mengharung air.

Range Rover Sport dengan kombinasi prestasi dan versatiliti dikatakan bakal menjadi penerus populariti model sebelumnya yang mana sejak diperkenalkan pada tahun 2005 sudah terjual sebanyak 380,000 unit.

Model baharu itu bakal dijual di 169 pasaran di seluruh dunia. Sebelum lahirnya SUV seperti Porsche Cayenne, Audi Q5, BMW X5 atau Volvo XC90, model Range Rover adalah pilihan buat mereka yang mahukan SUV premium.

Tambahan pula Land Rover ialah pakar kenderaan off-road. Pengeluar itu tidak mempunyai kereta penumpang atau yang seumpamanya.

Pakej yang menarik bukan? Kenderaan off-road yang digabungkan dengan ciri-ciri mewah dan sporty.