Perang bendera pilihan raya

PATUNG lengkap berpakaian pahlawan Melayu menggunakan bendera dapat dilihat di Kuala Terengganu.


KETERUJAAN pasangan suami isteri dari Pantai Johor, Alor Setar, Kedah menyambut Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) wajar dicontohi seluruh rakyat Malaysia.

Semangat Mohd. Idrus Hashim, 35, dan isterinya, Ana Baharom, 36, menghias pekarangan rumah mereka dengan variasi bendera parti Barisan Nasional (BN), bendera Malaysia dan wajah-wajah pemimpin sanjungan mereka ternyata mengundang kekaguman masyarakat sekeliling.

Tambah menarik apabila terdapat bendera BN yang dibentuk menjadi replika pesawat pejuang dan kereta kebal, menggambarkan parti politik prolifik negara itu sudah siap bertempur untuk PRU-13.

Pembinaan replika rumah tradisional berasaskan bendera BN dan UMNO juga dapat dilihat di Kampung Ubai, Kuantan, Pahang. Ia merupakan kempen kreatif hasil usaha dua penyokong kuat parti itu, Johar Abdul Raffar, 50, dan Khaidir Ibrahim, 32.

Bot-bot nelayan juga tidak ketinggalan dihias dengan bendera BN. Pemandangan itu jelas dapat dilihat di Jeti Seberang Kota, Alor Setar dan Jeti Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, Selangor.

Bilik Gerakan PRU-13 di Chendering Pantai, Kampung, Raja, Kuala Terengganu juga berjaya menangkap pandangan awam dengan hiasan bendera kreatif. Di hadapan bilik gerakan itu diletakkan patung lengkap berpakaian seperti pahlawan Melayu menggunakan bendera BN.

Di ibu kota Kuala Lumpur, hampir seluruh kawasan mula dibanjiri pelbagai bendera politik menandakan kuasa rakyat bagi memilih tampuk pemerintahan baharu sudah bermula.


IDRUS menunjukkan replika pesawat pejuang yang dihasilkan menggunakan bendera Barisan Nasional di kediamannya di Alor Setar.


Hampir setiap unit di rumah pangsa Jalan Datuk Keramat menggantungkan bendera BN dan UMNO sekali gus menjadi bukti sokongan padu penduduk kawasan itu terhadap parti tersebut.

Perang bendera antara parti politik juga dilihat di sepanjang jalan raya, kaki lima, jejantas, tiang-tiang elektrik dan kawasan yang menjadi tumpuan ramai.

Ternyata medium berkempen menerusi bendera walaupun antara kaedah konvesional masih menjadi pilihan parti-parti politik di negara ini.

Kerancakan perang bendera yang tidak pernah merosot setiap kali menjelang pilihan raya membuktikan bahawa pendekatan itu masih relevan meskipun disaingi medium moden seperti laman-laman sosial.