Ku Nan nafi guna taktik kotor

24/04/2013 2:47am

PUTRAJAYA - Penyandang kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyangkal dakwaan Datuk Husam Musa bahawa beliau menggunakan taktik kotor untuk memenangi Putrajaya.

Tengku Adnan berkata, beliau tidak pernah berbuat demikian untuk menyandang kembali Parlimen itu yang dipegangnya selama dua penggal.

"Saya harap dia (Husam) jangan guna taktik kotor. Dia kata saya guna taktik kotor, saya tidak pernah berbuat demikian," katanya selepas menghadiri majlis makan tengah hari bersama Penjawat Awam Anak-Anak Kelantan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini semalam.

Tanpa menjelaskan taktik kotor yang didakwa, Tengku Adnan berkata, beliau tidak perlu berbuat demikian kerana warga Putrajaya sudah lama mengenalinya dan terserah kepada mereka untuk membuat pilihan.