Itu satu fitnah - Maznah Zolkifli


MAZNAH enggan memberi komen lanjut tentang dakwaan yang mengaitkan dirinya sebagai kekasih baharu Rosman.


SEJAK beberapa tahun lepas, isu perceraian dalam kalangan artis sudah menjadi cerita yang pasti wujud saban tahun. Ada yang bercerai secara baik.

Baru-baru ini, industri hiburan telah digemparkan dengan satu lagi kisah perceraian di antara pelakon Noniswara dengan suaminya, Datuk Rosman Ridzwan.

Namun, apabila yang menjadi gosip panas ialah Noniswara secara terbuka mendedahkan perceraian antara dia dan suaminya.

Noniswara mendakwa, perkahwinannya bersama Rosman mula goyah sejak tujuh bulan lalu disebabkan orang ketiga. Tanpa menamakan wanita itu, Noniswara mendakwa, dia merupakan rakan artis dan rakan baiknya sendiri.

Tiba-tiba, dalam akhbar mingguan, tersebar identiti sebenar wanita tersebut. Artikel tersebut mengaitkan nama Maznah Zolkifli sebagai penyebab kepada hubungan Noniswara dengan suaminya runtuh.

Kosmo! telah menanyakan Maznah tentang isu panas ini.

Kosmo!: Jika tidak kisah, saya ingin bertanyakan beberapa soalan.

MAZNAH: Jika tentang perkara tersebut, saya minta maaf. Saya tidak ingin memberi sebarang komen.

Maksud anda tentang isu merampas suami orang itu?

Saya minta maaf, saya sudah cakap saya memang tidak mahu langsung memberi komen tentang perkara itu. Memang saya sangat terkejut dan saya telah difitnah. Saya bakal mengambil tindakan selanjutnya ke atas kes ini.

Adakah anda akan memfailkan saman malu terhadap perkara ini?

Saya tidak mahu memberi sebarang komen kerana saya telah pun berjumpa dengan peguam saya dan saya tidak boleh memberi sebarang kenyataan. Memang saya akui ini semua fitnah semata-mata.

SAAT bahagia Noniswara dan Rosman.


KOSMO! juga berjaya mendapatkan Noniswara tentang perkara ini dan ternyata wanita yang mesra disapa sebagai Nonis itu terkejut dengan apa yang dikeluarkan. Ikuti temu bual bersama Nonis.

Kosmo!: Sebelum ini, anda tidak pernah menyebut nama siapa orang ketiga berhubung kemelut rumah tangga anda. Kini secara tiba-tiba muncul pula nama Maznah. Boleh komen?

Saya terkejut kerana memang saya tidak pernah menyebut nama sesiapapun. Ini kerana saya tidak mahu panjangkan lagi isu tersebut dengan menyebut nama individu itu. Anda sendiri boleh lihat dan baca dalam mana-mana media pun, saya jawab ‘no comment’ sahaja.

Jadi, setelah diberitahu nama, mungkin anda khuatir individu tersebut akan mengambil tindakan selanjutnya?

Perkara ini sudah berlanjutan selama tujuh bulan, jadi ramai orang yang sudah ketahui siapa individu tersebut. Memang risau, namun saya bukan hendak kata saya terlalu takut, tetapi sebenarnya, saya tidak mahu perkara ini berlanjutan. Saya tidak mahu ia menjadi kontroversi dan pasti orang akan mencari individu tersebut untuk bertanya itu dan ini. Apabila saya terbaca dalam akhbar, saya juga tidak sangka akan keluar nama.

Bagaimana pula dengan kes perceraian anda?

Saya sebenarnya tidak menarik semula tuntutan perceraian saya. Memang saya masih teruskan, cuma saya hanya menukar tuntutan tersebut kepada taklik dan fasakh. Ramai yang tidak baca cerita penuh yang dikeluarkan, mereka hanya baca judul sahaja. Apabila terjadi begitu, orang ingat saya gila talak pula. Ada pula individu yang memberi komen dalam laman Facebook saya yang bukan-bukan. Jadi ia tidak bagus untuk peminat yang membacanya atau mungkin mereka lakukan supaya peminat tidak menyukai saya.