Perjanjian durjana dengan syaitan

GELAGAT Melissa dan Jason akan mencuit hati penonton di panggung.


[email protected]">

LAYAR PERAK minggu ini membawakan sebuah filem seram arahan Faizul A. Rashid berjudul Bisikan Syaitan. Filem yang dibintangi oleh Fizz Fairuz, Nabila Huda, Wan Sharmila dan Azam Pitt itu mengisahkan akibat membuat perjanjian dengan syaitan demi meraih kesenangan hidup.

Soraya dan Kamil yang terdesak bagaimanapun memilih haluan salah apabila perjanjian itu mengakibatkan kematian saudara terdekat mereka. Bagaimanakah kesudahan kisah itu? Saksikan Bisikan Syaitan di pawagam berhampiran.

Selain itu, sebuah filem seram berbahasa Thailand turut mengisi kalendar filem minggu ini. Filem yang menggunakan tarikh 9.9.81 itu dimulakan dengan peristiwa tragis seorang gadis yang didakwa membunuh diri dengan cara terjun dari tingkat 20 sebuah pangsapuri.

Bagaimanapun, kisah berkembang menjadi suatu set pembunuhan membabitkan sembilan insiden seakan-akan sama yang dikaitkan dengan kuasa misteri. Siapakah dalang di sebalik peristiwa yang berlaku?

Jangan lepaskan peluang mengisi masa cuti sempena Hari Buruh pada minggu ini untuk menyaksikan sebuah filem santai bergenre komedi romantik berjudul Identity Thief lakonan Jason Bateman dan Melissa McCarthy yang tertukar identiti sehingga mengakibatkan hidup mereka porak-peranda.

Bisikan Syaitan

Tarikh tayangan: 2 Mei 2013

Genre: Seram

Durasi: 1 jam 40 minit

Pengarah: Faizul A. Rashid

Pelakon: Fizz Fairuz, Nabila Huda, Wan Sharmila dan Azam Pitt

Sinopsis: Pasangan suami isteri bernama Kamil (Fizz Fairuz) dan Soraya (Nabila Huda) yang hidup miskin berada dalam keadaan terdesak, sehinggakan mereka sanggup membuat perjanjian dengan syaitan yang melibatkan upacara terlarang.

Apabila Soraya ditangkap polis dan dibabitkan dalam kes bunuh, Kamil harus membina sebuah kes yang kuat melawan pihak pendakwa dan mengejar masa untuk menyelamatkan hidup Soraya.

Mampukah Kamil menyelamatkan isterinya menerusi prosedur mahkamah atau dia terpaksa mencari jalan keluar lain?

9.9.81

Tarikh tayangan: 2 Mei 2013

Genre: Seram, misteri

Durasi: 1 jam 45 minit

Pengarah: Adirek Phothong

Pelakon: Pathita Attayatomwittaya, Sutat Pawilirat dan Patitta Attayatamavitaya

Sinopsis: Pada suatu pagi, seorang wanita bernama Wipawee telah membunuh diri dengan terjun dari tingkat 20 pangsapurinya lengkap mengenakan pakaian pengantin.

Motif Wipawee membunuh diri menjadi tanda tanya dan tidak ada siapa pun yang mengetahui.

Bagaimanapun ada yang merasakan kejadian itu bukan insiden bunuh diri biasa. Kes itu disyaki akibat perbuatan roh jahat atau Wipawee telah disihir. Kejadian bunuh diri itu mempunyai hubung kait dengan sembilan insiden sama, yang mana melibatkan lelaki yang tinggal bersebelahan pangsapurinya dan mempunyai perasaan terhadap Wipawee.

Selain itu, beberapa orang lain turut dikatakan mempunyai kaitan dengan kematian misteri Wipawee antaranya, orang gaji, rakan baiknya dan seorang remaja yang mencuri barang Wipawee. Adakah misteri kematian Wipawee dapat dibongkar?

Identity Thief

Tarikh tayangan: 2 Mei 2013

Genre: Komedi, jenayah

Durasi: 1 jam 50 minit

Pengarah: Seth Gordon

Pelakon: Jason Bateman, Melissa McCarthy dan Genesis Rodriguez

Sinopsis: Setiap tahun, Hollywood pasti menampilkan filem-filem yang bergenre komedi dengan mengambil latar belakang cerita identiti diri yang bertukar.

Filem ini juga menyorot jalan cerita yang hampir sama cuma bezanya kali ini pelakon utama iaitu Melissa McCarthy menjadi wanita yang mencuri identiti seorang lelaki lakonan Jason Bateman.

Melissa menggunakan identiti itu untuk menipu wang seorang ketua kongsi gelap.

Penipuan tersebut akhirnya menyebabkan kongsi gelap dan polis bukan sahaja mengejar Jason, malah Melissa sendiri.

Ketika inilah pelbagai peristiwa kelakar berlaku yang pasti mencuit hati penonton.