Empat buah rumah flat terbakar

12/05/2013 8:38pm

KUALA LUMPUR - Empat buah rumah di tingkat empat Flat Sri Melaka, Taman Tenaga, Cheras di sini musnah dalam kebakaran pukul 5 petang tadi.

Dalam kejadian itu, seorang wanita warga emas dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) akibat sesak nafas kerana terhidu asap tebal.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman berkata, sebanyak enam jentera dengan kekuatan 35 anggota dikejarkan ke flat tersebut bagi memadamkan kebakaran.

Menurut beliau, api dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 5.53 petang dan hanya seorang warga emas terpaksa dihantar ke hospital kerana terhidu asap tebal. - KOSMO!