23 pelajar UniSZA lawat Chiang Mai, Thailand


PELAJAR dan pensyarah UniSZA bergambar ketika mengadakan lawatan di ladang lembu tenusu, Chiang Mai, Thailand baru-baru ini.


LAWATAN. Seramai 23 pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Produksi dan Kesihatan Haiwan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu bersama tiga pensyarah menyertai program mobiliti pelajar ke Chiang Mai, Thailand baru-baru ini.

Ketua Jabatan Sains Haiwan, Fakulti Pertanian dan Bioteknologi, Prof. Madya Dr. Mohd. Aziz Taib yang mengetuai rombongan berkenaan berkata, program lima hari itu bertujuan melihat sendiri perkembangan industri pertanian dan bioteknologi di Negara Gajah Putih itu.

"Dalam lawatan itu, kami berkunjung ke Chiang Mai University dan mengadakan perbincangan tentang kerjasama pintar dalam bidang pertanian dan bioteknologi antara kedua-dua universiti.

"Kami juga mengadakan lawatan ke kilang memproses makanan haiwan, kolam ikan Giant Catfish serta ladang lembu tenusu Chiang Mai," katanya.