Perjuangan politik Imelda Marcos


PADA usia 83 tahun, Imelda masih mampu berpenampilan anggun dan mempesona.


PESTA yang berlangsung di Paoay, sebuah pekan kecil yang terletak di Filipina pada malam itu dipenuhi penduduk setempat. Mereka kebanyakannya merupakan penyokong setia bekas Presiden Filipina pada tahun 1965 sehingga 1986 iaitu mendiang Ferdinand Marcos.

Kehadiran isteri Marcos, Imelda Marcos yang masih menawan dalam persalinan signaturnya, gaun kupu-kupu merah jambu menambah kemeriahan sambutan tersebut lebih-lebih lagi apabila Imelda menunjukkan keterbukaannya dengan menyertai orang ramai menari.

Meskipun telah lama mencecah usia emas, wanita berumur 83 tahun itu masih aktif berkempen bagi mempertahankan kerusi parlimen yang dipegangnya menerusi pilihan raya Filipina yang berlangsung hari ini. Kemenangan amat penting buat Imelda agar legasi kebangkitan politik yang dilalui keluarganya mampu diteruskan.

"Agak lucu kerana semakin tua, saya berasa lebih komited dan yakin untuk menempa kejayaan dalam dunia politik," ujar Imelda kepada AFP.

Imelda diramalkan mampu mengekalkan posisinya selepas pertama kali terpilih menyertai Kongres pada tahun 2010 mewakili sebahagian wilayah Ilocos Norte. Majoriti penduduk di kawasan itu dilihat masih setia menyokong perjuangan politik keluarga Marcos meskipun diasak pelbagai kontroversi.

Namun, Imelda mempunyai rencana yang lebih besar. Kepulangan keluarganya ke kediaman presiden menjadi percaturan utamanya. Anak lelakinya, Ferdinand Marcos Jr yang kini selesa dalam Senat dikhabarkan sedang berusaha merebut kerusi presiden pada pilihan raya 2016.

"Anda sentiasa memasang impian untuk anak-anak dan sekiranya mereka mampu memimpin rakyat selaku presiden, ia adalah lebih baik," dedah Imelda saat ditanya tentang cita-cita anak lelakinya itu bagi memegang posisi Presiden Filipina.

Ferdinand Jr atau ramah dengan gelaran Bongbong dilihat berpotensi sebagai calon presiden negara itu pada masa akan datang selepas satu dalam tiga pengundi memilihnya ke Dewan Senat bagi mengisi penggal enam tahun pada tahun 2010.

Revolusi rakyat

Kuasa politik keluarga Marcos hampir terkubur sejak tahun 1986. Jutaan rakyat Filipina memenuhi jalanan memperjuangkan revolusi rakyat sekali gus menamatkan kepimpinan dua dekad Ferdinand ke atas negara itu sehingga memaksa beliau dan keluarganya hidup dalam buangan di Amerika Syarikat (AS).

Ferdinand Marcos, Imelda dan kroni-kroni mereka dituduh menggelapkan berbilion dolar wang negara. Pejuang hak kemanusiaan menyatakan, ribuan pengkritik rejim tersebut dibunuh atau dipenjarakan sementara pelaksanaan undang-undang tentera memaksa media menutup mulut.

IMELDA memeluk erat seorang warga emas yang ditemuinya di Ilocos Norte.


Kempen

Sepanjang minggu lalu, Imelda giat berkempen merentasi daerah-daerah bagi meraih sokongan rakyat. Di setiap pekan yang dilawati, petugas media dibawa melawati pusat keibuan (mothering centre) dan klinik-klinik kecil berdinding konkrit yang dibina Imelda di setiap daerah dalam wilayah pegangannya. Pusat tersebut menawarkan servis kesihatan yang pelbagai termasuk latihan pembuatan kraf tangan.

Di setiap pusat keibuan yang disinggah, Imelda menunjukkan sifat mesra rakyatnya dengan mendukung bayi dan berkongsi jenaka bersama beberapa warga emas di situ. Dua pembantu beliau yang menggalas beg berwarna merah pula mengagihkan alat permainan kepada kanak-kanak dan sedikit duit kepada penyokong dewasa.

Seorang wanita warga emas, Honesia Aknam dari Nueva Era memberitahu, dia masih meletakkan kepercayaan sepenuhnya ke atas Imelda. Honesia turut menunjukkan not 500 peso (RM36) yang dikatakan diselitkan ke dalam tangannya oleh pembantu Imelda.

"Saya tidak melihatnya untuk beberapa tahun. Imelda masih cantik dan kelihatan muda," tambah Honesia.

Seorang paderi katolik, Danilo Laeda berkata, keluarga Marcos amat disanjungi atas pembangunan infrastruktur seperti sistem jalan raya yang efisien dan sikap dermawan mereka terutamanya ketika era Ferdinand Marcos.

"Rakyat melihat Bongbong sebagai pewaris legasi mendiang bapanya," ujar Danilo yang berkhidmat di gereja pekan San Nicolas.

Bagaimanapun, Danilo turut memberitahu bahawa timbul cerita kurang enak yang mengatakan keluarga Marcos membelanjakan duit yang banyak bagi membeli undi penduduk setempat.

Imelda bagaimanapun menafikan setiap tuduhan lawannya. Katanya: "Saya sentiasa menjadikan setiap kritikan sebagai satu nasihat. Namun, kadangkala kritikan itu menjadi nasihat yang tidak munasabah. Saya tidak akan sesekali membenarkan kenyataan negatif seperti ini menggugat usaha saya selama ini."