Siti anggap Sakinah bergurau

SITI berharap tidak timbul kontroversi apabila klip video single terbaharunya, Galau menampilkan dirinya yang tidak berhijab sepenuhnya.


SEMUANYA bermula apabila pelakon Sharifah Sakinah menggunakan akaun medium sosial Keek aktres Anzalna untuk memuat naik sebuah video pada petang Jumaat lalu.

Ketika itu Sakinah dan Anzalna sama-sama sedang menjalani penggambaran drama bersiri drama bersiri, Orang Gaji IQ.

Menerusi video tersebut, Sakinah telah mengajuk suara Datuk Siti Nurhaliza seperti dalam iklan Jusco yang membabitkan Siti sebelum ini.

Impaknya ramai yang mengutuk tindakan Sakinah sebagai sengaja mencari publisiti murahan sehingga Sakinah akhirnya tampil membuat permohanan maaf secara terbuka menerusi media.

Siti turut memberikan respons terhadap kontroversi yang dicetuskan Sakinah itu.

Ujarnya: “Saya sudah mengetahui tentang video (Sharifah Sakinah) tersebut. Setahu saya, video tersebut hanya mengajuk cara suara saya membuat voice over untuk iklan Jusco.

“Saya tidak ambil hati kerana saya anggap Sakinah mungkin sekadar ingin bergurau.”

Tambah Siti: “Saya anggap ia sekadar gurauan budak-budak dan isi kandungan seterusnya tidak ada kena-mengena dengan diri saya.”

Siti ditemui baru-baru ini pada majlis pelancaran klip video single terbaharunya, Galau di Kuala Lumpur.

Single tersebut merupakan hasil kerjasama Universal Music Sdn. Bhd. dan Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd. yang diterbitkan oleh Mujahid Abd Wahab dari Rumpun Records

“Lagu berkonsep pop ini mengisahkan tentang hubungan dua insan yang saling memerlukan antara satu sama lain dalam menempuhi ranjau kehidupan sebagai pasangan kekasih.

“Galau bermaksud kacau atau keliru. Alhamdulillah, Galau telah mula mendapat sambutan yang hangat di (stesen) radio-radio tempatan dan laman sosial seperti YouTube dan Facebook,” ujarnya.

Penggambaran klip video Galau berlangsung pada 7 Disember tahun lepas di Moroccan Pavilion, Taman Botani, Putrajaya.

Menurut pengarah klip video tersebut, Daryl Adrian Emuang, lokasi itu dipilih kerana keunikan dan kecantikan senibinanya.

“Gabungan elemen kasih sayang daripada maksud lagu Galau dengan visual yang memfokuskan kepada ekspresi Siti bersama para penari pendingngiring. Klip video tersebut lebih kepada unsur abstrak dan sangat berbeza konsepnya berbanding klip video Siti sebelum ini,” jelas Daryl.


SHARIFAH SAKINAH mengaitkan nama Siti menerusi rakaman video di laman YouTube.


Tidak berhijab

Pada majlis tersebut, Siti juga membuat satu pengumuman untuk menghasilkan kerjasama dengan Universal Music Sdn. Bhd. untuk album yang seterusnya.

“Saya akan mulakan proses rakaman pada bulan Ramadan ini dan Insya-Allah ia akan dilancarkan selepas Aidilfitri nanti.

“Saya akan berkerjasama dengan komposer dari Indonesia dan Malaysia,” kata Siti yang membuat pelancaran klip videonya itu di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini

Menerusi klip video tersebut, Siti menampilkan imej dirinya yang belum berhijab sepenuhnya. Ini kerana ia dirakamkan pada Disember tahun lepas.

“Saya harap peminat saya faham yang saya mula berhijab sepenuhnya pada Januari tahun ini dan klip video itu dirakam sebelum saya sepenuhnya berhijab. Saya berharap ia tidak menjadi satu masalah kepada peminat-peminat saya,” ujar Siti yang tidak sabar ingin memulakan rakamannya bersama Universal Music.

Tambahnya: “Klip video ini sepatutnya sudah lama dikeluarkan. Namun saya tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya disebabkan suami saya kemalangan dan menjaga suami selama empat bulan.

“Saya tidak mahu pihak penerbitan mengeluarkan bajet sekali lagi semata-mata ingin merakamkan klip video itu.”

Kolaborasi bersama Yuna

Sementara itu, Siti juga mengumumkan projek terbaharuunya dengan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).

“Siti akan muncul menerusi konsert mega di Dewan Philharmonic pada Julai ini,” ujarnya mengenai koloborasinya dengan MPO untuk tiga malam berturut-turut iaitu dari 5 hingga 7 Julai nanti.

Siti juga mendedahkan, dia banyak menerima pemintaan daripada peminat untuk menyanyikan lagu Muara Hati secara solo.

“Saya akan mempertimbangkan mengenai perkara itu,” ujarnya yang mengakui ingin menjalinkan kolaborasi dengan penyanyi Yuna dan Awi Rafael pada masa akan datang.