Komedi, aksi Oh Mak Kau


BARISAN karyawan filem Oh Mak Kau kini menanti respons peminat terhadap filem tersebut yang telah ditayangkan di pawagam sejak 16 Mei lalu.


BUKAN mudah sebenarnya untuk menjadi seorang pengarah dan dalam masa yang sama merupakan penerbit dan juga pelakon dalam sesebuah naskhah.

Bagaimanapun, itu keberanian yang disahut oleh pendatang baharu Nurul Ain Nordin, 23, apabila dia menghasilkan filem pertamanya, Oh Mak Kau (OMK).

Mengutamakan elemen komedi dalam filem OMK, Nurul Ain mencipta kelainan apabila turut menyuntik elemen aksi untuk menjadikan filem itu mempunyai keistimewaan tersendiri.

Biarpun terdapat sedikit cacat cela dalam filem tersebut memandangkan ia buah tangan pertamanya, namun Nurul Ain bijak menutupinya dengan barisan pelakon yang mantap seperti Jep dan Shuib Sepahtu, Didie Alias, Syamsul Yusof, Abon serta Yasin.

Dialog-dialog yang dilontarkan setiap pelakon utamanya juga berjaya mengundang tawa penonton, terutama sekali dialog Jep dan juga Shuib.

Mengulas mengenai pengalamannya menghasilkan filem tersebut, Nurul Ain mengakui, sukar untuk dia mengarahkan pelakon-pelakon yang lebih otai seperti Didie Alias dan Abon.

“Sebagai pelakon dan juga pengarah baharu, sebenarnya saya berasa rendah diri mengarahkan pelakon-pelakon yang lebih otai seperti Didie Alias dan Abon.

“Alhamdulillah saya turut dibantu mereka untuk menghasilkan filem ini. Mereka juga menyumbang idea dan dialog untuk menjadikan filem ini mantap,” jelasnya ketika ditemui pada sidang akhbar filem tersebut di Cathay Cineplex Cineleisure, Petaling Jaya, Selangor.

Sementara itu, menurut Didie, selama tiga bulan Nurul Ain cuba memujuknya berlakon dan akhirnya pelakon yang sering mengenakan pakaian ala Lady Gaga itu bersetuju untuk berlakon.

Semuanya, gara-gara pelakon dan pengarah Syamsul Yusof yang turut serta berlakon di dalam filem tersebut.

Jelas Didie, sebelum sesuatu tawaran diterima dia akan memastikan dulu jalan cerita, pengarah dan juga barisan pelakon yang ada.

“Saya mahukan watak yang memberi impak kepada penonton, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

“Saya bersetuju untuk berlakon kerana melihat pengisian filem ini sesuatu yang baharu kerana selain unsur komedi dan aksi, ia turut menyelitkan unsur kasih sayang sesama keluarga,” jelas Didie yang sudah 20 tahun tidak membawa watak berat di layar perak.

OMK berkisar tentang adik-beradik iaitu Sam dan Mun. Mereka suka mencuri, tetapi mempunyai sikap pelik iaitu mengemas selepas mencuri. Segalanya berubah dengan kedatangan Que, seorang wanita yang berjaya mencuri hati mereka berdua.

Diterbitkan oleh Star Scope Production Sdn. Bhd., ia menelan belanja sebanyak RM1.7 juta dan sudah ditayangkan sejak 16 Mei lalu.