Reshma gadis ajaib

RESHMA cuma makan empat peket biskut selama lebih dua minggu.


SEORANG gadis yang diselamatkan selepas 17 hari terperangkap di bawah runtuhan sebuah kilang pakaian di Bangladesh pada 24 April lalu memberitahu, dia hidup dengan makan biskut dan minum beberapa botol air.

Reshma Begum mengejutkan dunia kerana dia tidak mengalami kecederaan serius dalam tragedi runtuhan yang paling buruk dalam sejarah industri negara Asia Selatan itu.

Reshma, 19, berkata pada hari kejadian dia tergesa-gesa ke tempat kerja sehingga tidak sempat bersarapan di rumah.

Jadi, dia membeli empat peket kecil biskut semasa menuju ke tempat kerja. Biskut itulah yang kemudian menjadi penyambung nyawanya semasa dia terperangkap dalam runtuhan itu.

Operasi menyelamatkan Reshma yang disiarkan secara langsung oleh televisyen kebangsaan Bangladesh telah menyebabkan segala aktiviti di ibu negara Dhaka terhenti apabila semua orang berkerumun di depan televisyen.

Reshma sempat memberitahu petugas hospital dan pasukan penyelamat bahawa dia terselamat dengan makan biskut dan minum air mineral selama 15 hari dia terperosok di dalam sebuah ruang sempit yang terbentuk daripada runtuhan konkrit Plaza Rana di bandar Savar di Dhaka.

Reshma dipercayai memperoleh minuman itu daripada botol-botol air yang dicampakkan pasukan penyelamat melalui celah-celah runtuhan bagi memberi bantuan kepada mangsa yang mungkin masih hidup.

Rambut

Reshma yang tinggal bersendirian di bilik sewanya di Savar berkata, semasa bangunan lapan tingkat itu runtuh pada pukul 9 pagi dia sedang berada di tingkat tiga.

Dia cuba berlari turun ke tingkat dua tetapi terperangkap di sebuah ruang tertutup. Ruang itu cukup untuk membolehkannya bergerak dan bernafas. Namun, rambutnya tersepit di antara celahan batu dan dia terpaksa menarik rambutnya sehingga putus bagi melepaskan diri.

"Tiada siapa mendengar suara saya. Ia sangat menakutkan. Saya tidak pernah bermimpi akan dapat melihat matahari lagi," katanya yang masih terkejut dengan tragedi itu.


PLAZA RANA runtuh pada 24 April lalu kerana terlebih bebanan.


Tidur Reshma sering terganggu dan kadangkala dia memegang erat tangan jururawat seolah-olah bangunan Hospital Tentera tempat dia dirawat sedang runtuh.

Ibunya, Zobeida Begum, 60-an yang tinggal di daerah Dinajpur, 170 kilometer ke utara Dhaka berkata: "Saya tidak percaya dia masih hidup apabila saya melihatnya di katil hospital.

Tambah kakaknya, Asma: "Kami mendapatnya semula selepas semua harapan untuk menemui dia masih hidup seakan-akan tiada langsung."

Stesen Somoy TV sempat merakamkan situasi Begum di hospital ketika doktor dan jururawat memasukkan air ke dalam tubuh gadis itu.

Reshma berkata: "Saya dapat mendengar suara anggota penyelamat beberapa hari lalu. Saya terus memukul dinding batu dengan kayu dan batang besi bagi menarik perhatian mereka.

"Ada sedikit makanan kering bersama saya dan itulah yang saya makan selama 15 hari. Dua hari berikutnya saya sudah tiada apa-apa untuk dimakan kecuali minum air. Saya ada beberapa botol air yang diminum sedikit-sedikit."

Selepas menyedari ada mangsa yang masih hidup, anggota pasukan menyelamat yang sebenarnya ditugaskan untuk mengumpulkan mayat menghentikan kerja serta-merta.

Mereka menggunakan gergaji, alat pengimpal dan mesin gerudi untuk memecah tembok dan memotong besi sehingga sampai ke tempat Reshma terperangkap.

Reshma berjaya dibawa keluar selepas 40 minit dengan pasukan penyelamat mendapat tepukan kegembiraan daripada orang ramai yang membanjiri tapak runtuhan.

Para petugas mula membersihkan kawasan runtuhan sejak hari pertama kejadian 24 April lalu. Lebih 2,500 orang berjaya diselamatkan dalam tempoh empat hari selepas plaza itu runtuh.

Bagaimanapun, tiada mangsa yang masih hidup ditemui selepas 28 April. Satu-satunya mangsa yang hidup pada hari berkenaan ialah seorang wanita, Shahin Akter. Malangnya dia mati selepas percikan api daripada peralatan pasukan penyelamat mencetuskan kebakaran yang menyebabkan Shahin lemas akibat terhidu asap.

Eksport

Persatuan Pengeksport dan Pengilang Pakaian Bangladesh memberitahu, terdapat 3,122 pekerja bekerja di empat buah kilang di dalam bangunan berkenaan. Sebahagian besar pakaian itu dieksport ke Eropah. Bangladesh merupakan pengeksport pakaian kedua terbesar di dunia.

Setakat ini, angkat kematian dalam tragedi itu sudah melepasi 1,100 orang. Sebelum malapetaka itu berlaku, beberapa pekerja telah memaklumkan kepada pihak pengurusan bahawa ada retakan di tiang dan lantai bangunan tetapi tidak diendahkan. Sebaliknya mereka diarahkan supaya terus bekerja.

Pekerja itu juga mendakwa pintu kecemasan bangunan kilang berkenaan ditutup oleh pengurus kilang.

Insiden itu terjadi disebabkan sistem keselamatan dan keadaan tempat kerja kurang sempurna yang melanda industri tekstil Bangladesh.

Sebelum ini, pada November tahun lalu, 111 orang maut dalam kebakaran di sebuah kilang membuat pakaian untuk jenama Walmart dan beberapa label Barat di Dhaka.


PASUKAN penyelamat mengambil masa selama 40 minit untuk mengeluarkan Reshma dari bawah runtuhan.


Seorang aktivis kemanusiaan, Brad Adams mengatakan tragedi Plaza Rana mendedahkan senarai panjang kematian pekerja kilang di Bangladesh.

"Kerajaan, pemilik kilang tempatan dan syarikat pengeluar pakaian menggaji pekerja dengan bayaran antara yang terendah di dunia," jelas Adams.

Pekerja kilang tekstil itu hanya dibayar kurang RM100 sebulan untuk tempoh masa kerja selama 15 jam sehari.

Terdapat sekitar empat juta pekerja industri itu di Bangladesh. Industri tekstil menyumbang 80 peratus daripada pendapatan negara itu.

Suhu kemarahan rakyat negara itu agak dingin selepas penahanan pemilik bangunan itu, Sohel Rana yang cuba melarikan diri ke India. Segala asetnya turut disita sebelum dihadapkan ke mahkamah.

Selain itu, terdapat dakwaan bangunan itu sepatutnya didirikan setinggi enam tingkat sahaja tetapi telah ditambah dua tingkat lagi menyebabkan strukturnya tidak dapat menampung beban keseluruhan bangunan. - Agensi