Dollah intai tempat ketiga liga

PAHANG masih berpeluang memperbaiki kedudukan dalam Liga Super sekiranya mengekalkan momentum cemerlang seperti yang dipamerkan pada perlawanan menentang Lions XII yang berakhir seri 1-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam kelmarin.

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata, skuad Tok Gajah itu sekurang-kurangnya berpeluang menduduki tangga ketiga liga sekiranya terus meraih kemenangan dalam semua baki perlawanan selepas ini.

Sebelum ini, Pahang meletakkan sasaran untuk kekal dalam saingan Liga Super, namun selepas melihat aksi lebih bertenaga daripada skuad kendaliannya, Dollah sudah berani untuk menamatkan saingan musim ini di tempat ketiga liga.

“Perlawanan malam ini (kelmarin) cukup menarik apabila para pemain Pahang dilihat sangat komited untuk memburu jaringan walaupun jentera serangan sentiasa dikawal ketat pertahanan Lions XII.

“Usaha para pemain yang berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menyamakan kedudukan 1-1. Kalau pemain mengekalkan corak permainan seperti ini, kita boleh pergi lebih jauh dalam liga musim ini,” katanya.

Pada perlawanan tersebut, penyerang Pahang, Mohd. Azammuddin Mohd. Akil menghasilkan gol penyamaan pada minit kecederaan babak kedua selepas berhempas pulas menggempur gawang pelawat sejak ketinggalan 0-1.

Pahang sebelum ini kalah 0-3 kepada Lions XII pada pertemuan pusingan pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura dan selepas aksi malam kelmarin, skuad Tok Gajah itu kini menghuni tangga kelima liga.

Menurut Dollah, matlamat untuk merampas kedudukan ketiga liga boleh dicapai jika para pemain terus konsisten dengan corak permainan yang agresif seperti yang dibuktikan malam kelmarin.

“Kita masih perlu memperkemas rentak serangan dan kekal dengan sikap tidak mudah berputus asa. Saya berbangga dengan semangat mereka (pemain) yang terus berjuang sehingga ke minit-minit akhir perlawanan,” katanya.

Sementara itu, Dollah turut berharap agar penyerang import kelahiran Argentina, Matias Conti dapat mempamerkan aksi sebenarnya selepas kecederaan hamstring yang dialaminya pulih sepenuhnya.

Conti dimasukkan pada babak kedua perlawanan malam kelmarin, namun gagal mempamerkan kualitinya yang sebenar.

“Saya gembira dia (Conti) sudah boleh bermain. Ia satu perkembangan baik dan kita yakin dia boleh memberi impak kepada pasukan ini untuk perlawanan seterusnya,” ujar Dollah.