KLHC, TNB buru gelaran ke-13


FAIZAL (kiri) akan mengetuai jentera serangan TNB pada aksi menentang KLHC di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.


AKSI final Kejohanan Hoki Piala Tenaga Nasional Berhad (TNB) malam ini dianggap pertarungan klasik dua musuh tradisi kelab hoki di negara ini.

Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dan seteru utamanya, TNB akan turun memburu gelaran berprestij Piala TNB iaitu gelaran juara keseluruhan bagi Liga Hoki Malaysia (MHL) buat kali ketiga berturut-turut.

KLHC muncul juara pada dua edisi sebelum ini dengan menewaskan TNB 3-2 (2011) dan 3-0 (2012) manakala TNB pula menjuarainya (2010) dengan mengalahkan Sapura 5-3 menerusi penentuan pukulan penalti.

Namun, kedua-dua kelab ini berkongsi rekod pencapaian iaitu menjulang 12 gelaran sejak MHL mula diperkenalkan pada 1987, sekali gus menyaksikan gelaran Piala TNB malam ini bakal menjadi kejuaraan ke-13 bagi pasukan yang memenanginya.

TNB yang dikendalikan bekas pemain kebangsaan, Nor Azlan Bakar memiliki reputasi hebat dengan mendominasi saingan MHL sejak 1987. TNB ketika itu dikenali sebagai kelab Kilat.

Mereka telah merangkul gelaran Liga Premier sebanyak lima kali (1990, 1991, 2001, 2002, 2003) dan Piala TNB tujuh kali (1987, 1989, 1991, 2003, 2004, 2007, 2010).

KLHC pula yang dibimbing seorang lagi bekas pemain negara, Muhd. Dhaarma Raj Abdullah juga bukan calang-calang pasukan dan turut meraih kegemilangan ketika dikenali sebagai pasukan Anderson dan Ernst & Young (E&Y) sebelum ini.

Mereka mula memenangi gelaran Liga Premier sejak 2006 sehingga musim 2013 ini serta Piala TNB sebanyak tiga kali (2008, 2011, 2012).

Justeru, peminat hoki tempatan sudah boleh meramalkan bahawa pertemuan final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam ini pastinya menjanjikan satu pertarungan sengit dan sesuatu yang tidak mungkin akan dilepaskan.

Pasukan TNB menggunakan khidmat pemain tempatan sepenuhnya dan sebahagian besar daripada mereka terdiri daripada bekas dan pemain skuad negara ketika ini.

Kekuatan mereka ialah di bahagian serangan yang diketuai penyerang lincah, Faizal Saari manakala jentera pertahanan pula diketuai bekas kapten skuad negara, Muhd. Amin Rahim serta Penjaga Gol Terbaik Asia 2010, S. Kumar.

Namun, KLHC juga tidak kurang hebatnya.

Diperkuatkan dengan enam pemain import iaitu seorang dari Australia dan lima dari Pakistan, KLHC juga mempertaruhkan tenaga beberapa bekas dan pemain kebangsaan.

Jentera tengah bakal dikemudikan Mohd. Sukri Abdul Mutalib manakala pemain berusia 33 tahun, Chua Boon Huat yang kembali semula ke dalam skuad senior negara akan mengetuai jentera serangan mereka.

Pertahanan pula ditunjangi kapten mereka, Muhd. Razie Abd. Rahim dan pintu gol akan dikawal seorang lagi penjaga gol veteran, Roslan Jamaluddin.

Berdasarkan rekod pertemuan musim ini, KLHC dilihat memiliki kelebihan selepas berjaya mengikat TNB 3-3 dan menang 5-3 dalam dua aksi Liga Premier.

Malah, KLHC juga membelasah Sapura 11-1 secara agregat pada saingan separuh akhir Piala TNB kali ini, sekali gus memberi amaran awal kepada TNB yang bergelut untuk mengembalikan prestasi sebenar mereka sejak dari awal musim lagi.

Musim ini, TNB hanya mampu menduduki tempat ketiga dalam saingan Liga Premier di belakang Maybank dan juara, KLHC.

Namun, mereka dilihat mula mempamer prestasi sebenar pada saingan kalah mati ini dengan menewaskan Terengganu 8-3 secara agregat (suku akhir) sebelum menang dengan agregat 8-4 ke atas Maybank pada separuh akhir.

Sesuatu yang melegakan Nor Azlan dalam dua pertemuan kalah mati itu ialah penyerang sensasi mereka, Faizal yang semakin pulih daripada kecederaan dan dia juga menemui semula sentuhan penyudahnya.

Faizal, 22, juga bakal dinobatkan sebagai penjaring terbanyak musim ini selepas mengumpul 17 gol dan ia juga merupakan anugerah ketiga berturut-turut diperoleh pemain yang berasal dari Terengganu itu sejak memenanginya pada musim 2011 dan 2012.

Maka, pertarungan klasik di antara dua gergasi hoki negara ini sudah tentu menjadi sesuatu yang menarik untuk disaksikan dengan pelbagai kemungkinan boleh berlaku, bergantung kepada suasana pada perlawanan akhir malam ini.

Kedua-dua kelab ini memiliki rekod yang cemerlang, mempunyai pemain berkualiti dan berpengalaman di pentas antarabangsa serta turun dengan tunjuk ajar sifu masing-masing yang pernah menyarung jersi skuad negara suatu ketika dahulu.

Siapa yang muncul juara malam ini masih belum dapat ditentukan, namun apa yang pasti, saingan kompetitif dalam kalangan gergasi hoki negara ketika ini telah berjaya membuka satu dimensi baharu kepada sukan tersebut yang semakin mempunyai ramai pengikutnya.