20,000 penyokong Baju Merah berhimpun di Bangkok


PENYOKONG Baju Merah bertepuk tangan semasa mendengar ucapan pemimpin mereka di pusat bandar raya Bangkok semalam.- REUTERS


BANGKOK - Sekitar 20,000 penyokong Baju Merah berhimpun di ibu kota Thailand di sini semalam bagi memperingati ulang tahun ke-3 operasi berdarah terhadap penunjuk perasaan antikerajaan, kata polis.

Sekitar 90 orang terbunuh manakala hampir 1,900 cedera dalam beberapa pertempuran jalanan pada Mei 2010 antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan.

Semalam beberapa batang jalan raya ditutup selepas kumpulan Baju Merah yang setia kepada bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra berhimpun di kawasan perniagaan di pusat bandar di sini.

Pusat beli-belah terbesar di Thailand, Central World turut ditutup sementara ketika perhimpunan besar-besaran itu diadakan.

Polis cawangan khas Thailand menganggarkan 20,000 orang telah menyertai tunjuk perasaan itu menjelang petang semalam.

"Bantahan itu berlangsung secara aman," kata seorang ketua polis, Mejar Jeneral Chantavit Ramasut.

Menurutnya, seramai 750 anggota polis ditempatkan di sekitar lokasi perhimpunan untuk mengawal keselamatan.

Thailand dipisahkan dengan perbezaan fahaman politik sejak Thaksin digulingkan oleh pihak tentera dalam satu rampasan kuasa pada 2006.

Kumpulan-kumpulan hak asasi menuntut agar mereka yang bertanggungjawab melakukan keganasan dalam operasi tentera pada 2010 dihadapkan ke muka pengadilan.

Aktivis-aktivis itu mengecam tindakan kerajaan semasa yang diketuai Perdana Menteri Yingluck Shinawatra untuk memberikan pengampunan kepada mereka yang terlibat.

Yingluck merupakan saudara perempuan Thaksin.

Beberapa penganalisis memberitahu, pengampunan tersebut akan melegakan pihak tentera dan membuka jalan untuk Thaksin kembali ke Thailand.

Bekas Perdana Menteri itu kini hidup dalam buangan di luar negara.

"Tiga tahun lalu, dunia melihat askar-askar menembak penunjuk perasaan dan sebahagian kota raya ini dijilat api," kata Pengarah Human Rights Watch Asia, Brad Adams.

"Namun, mereka yang terlibat bukan sahaja tidak dibawa ke muka pengadilan tetapi kerajaan Thai dan pihak tentera kini menyokong rang undang-undang untuk melepaskan semua yang terlibat dalam keganasan tersebut," tambahnya. - AFP