Pertahanan Kelantan perlu rantai pergerakan tonggak serangan Johor DT

20/05/2013 8:33pm

Barisan pertahanan Kelantan perlu merantai pergerakan tiga tonggak utama Johor Darul Takzim (Johor DT) iaitu Norshahrul Idlan Tahala, Nurul Azuan Roya serta penyerang import Leonel Nunez jika mahu melakar kemenangan ke atas pasukan berkenaan pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Rabu ini.

Perkara tersebut disuarakan oleh tonggak pertahanan The Red Warriors Nik Mohd. Shahrul Azim Ab. Halim yang menyifatkan ketiga-tiga pemain tersebut mampu meranapkan impian Kelantan untuk mencatat kemenangan pada perlawanan itu.

Nik Mohd Shahrul Azim atau Poknik berkata, ketiga-tiga pemain ini mempunyai kemahiran individu yang tinggi serta larian pantas dan mampu mengundang bahaya kepada Kelantan sekiranya diberikan ruang secukupnya untuk bergerak.

Menurutnya, meskipun tidak dapat beraksi pada perlawanan tersebut, beliau tetap yakin dengan kemampuan rakan-rakan sepasukan di barisan pertahanan untuk mengekang asakan yang dilakukan oleh pasukan Johor DT. - KOSMO!