UIAM berhasrat buka kampus cawangan di seluruh dunia

20/05/2013 9:10pm

KUALA LUMPUR - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berhasrat membuka beberapa kampus cawangan universiti itu di seluruh dunia bagi mengembangkan lagi pembelajaran berteraskan konsep Islamisasi selain melahirkan pelajar berkualiti dan berdaya saing.

Rektornya, Profesor Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin berkata, hasrat itu mampu direalisasi memandangkan terdapat kira-kira 60,000 alumni UIAM di seluruh negara yang berperanan sebagai jambatan penghubung universiti itu di peringkat global.

Beliau berkata, ini merupakan satu daripada mekanisme dalam Pelan Strategik UIAM 2013-2020 yang menggariskan satu asas utama iaitu Islamisasi.

"Jika Universiti Al-Azhar di Kaherah menjadi ulung dengan bersifat tradisional tetapi kita (UIAM) ingin menjadi sebuah universiti Islam moden yang menjadi pintu gerbang Islam di dunia.

"Dengan adanya cawangan kita di seluruh dunia, maka UIAM akan mampu menyalurkan maklumat berkaitan Islam serta ilmu pengetahuan dalam pelbagai bahasa," katanya pada sidang akhbar selepas majlis sambutan ulang tahun ke-30 UIAM di kampus utama universiti itu hari ini. - Bernama