Kelantan mahu rantai penggempur Johor DT


KELANTAN tidak akan membiarkan Nunez (tengah) bergerak bebas pada aksi di Larkin malam esok.


KELANTAN akan rantai pergerakan tiga tonggak utama Johor Darul Takzim (Johor DT), Norshahrul Idlan Talaha, Nurul Azuan Roya serta penyerang import, Leonel Nunez dalam usaha mereka meraih kemenangan pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam esok.

Perkara tersebut disuarakan tonggak pertahanan The Red Warriors, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab Halim yang menyifatkan ketiga-tiga pemain tersebut mampu meranapkan impian Kelantan untuk mencatat kemenangan pada perlawanan itu kelak.

Nik Mohd. Shahrul berkata, ketiga-tiga pemain ini mempunyai kemahiran individu yang tinggi serta larian pantas, malah mampu mengundang bahaya kepada Kelantan sekiranya diberikan ruang secukupnya untuk mereka bergerak.

Menurutnya, meskipun tidak dapat beraksi pada perlawanan tersebut, dia tetap yakin dengan kemampuan rakan-rakan sepasukan di bari- san pertahanan untuk mengekang asakan yang bakal dilancarkan Johor DT.

"Saya tidak dapat beraksi pada perlawanan tersebut selepas digantung satu perlawa- nan akibat mengumpul dua kad kuning sebelum ini.

"Jadi, saya berharap rakan- rakan sepasukan dapat memberikan aksi terbaik pada perlawanan itu bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Kelantan," katanya ketika di Kota Bharu semalam.

Tambahnya, barisan pertahanan Kelantan berada di tahap terbaik selepas mendapat sentuhan beberapa pemain yang tercedera sebelum ini iaitu Farisham Ismail, Azizi Mat Rose dan Mohd. Rizal Fahmi Rosid.

Pemain kelahiran Rantau Panjang itu memberitahu, Kelantan tidak boleh terus keciciran mata dalam perlawanan selepas ini jika mahu menamatkan saingan musim ini dalam lima kelompok terbaik liga.

"Kita tidak mempunyai banyak pilihan selain melakar kemenangan pada perlawanan selepas ini. Saya yakin dan percaya kita mampu menamatkan saingan musim ini dengan berada di kelompok lima pasukan terbaik musim ini," ujarnya.

Rakan sepasukannya, Mohd. Daudsu Jamaluddin juga me- nganggap tiga pemain tersebut bakal menjadi 'duri dalam daging' buat Kelantan sekiranya tidak dikawal rapi pada perlawanan itu kelak.

"Mereka merupakan tunjang kekuatan pasukan Johor DT dan mampu mengucar- ngacirkan benteng pertahanan pasukan lawan. Jadi, kita perlu memastikan ruang yang mereka miliki ditutup sebaik mungkin."