Ahli sejarah, arkeologi bertemu di Sarawak

PELBAGAI khazanah dipamerkan membabitkan 21 muzium di seluruh negara bermula esok hingga 26 Mei ini.


BERTEMAKAN Muzium (Kenangan + Kreativiti = Perubahan Sosial), Jabatan Muzium Negara memilih Sarawak sebagai tuan rumah kepada Hari Muzium Antarabangsa yang disambut pada 18 Mei setiap tahun.

Sarawak dipilih menjadi tuan rumah bagi sambutan peringkat kebangsaan selepas Pahang yang menjadi pengemudi pada edisi lalu. Istimewanya, negeri Bumi Kenyalang itu turut menyambut ulang tahun ke-50 Hari Malaysia sekali gus meraikan Tahun Melawat Sarawak 2013.

“Kami berharap melalui sambutan ini, lebih ramai pengunjung terutamanya generasi muda datang melawat muzium yang terdapat di negara kita. Kita menghidangkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang program sempena Hari Muzium Antarabangsa ini,” ujar Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Datuk Ibrahim Ismail pada sidang akhbar yang diadakan di Muzium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Program selama lima hari itu bermula dari 22 hingga 26 Mei ini akan disertai sebanyak 21 buah muzium seluruh negara dengan mempamerkan khazanah-khazanah yang sukar ditemui, malah mungkin tidak pernah disaksikan oleh generasi muda.

Bagi memeriahkan sambutan kali ini, beberapa buah negara luar telah mengesahkan kehadiran untuk sama-sama meraikan pameran warisan nenek moyang kita.

Antara negara yang turut serta ialah Indonesia dengan membawa khazanah dari dua muzium iaitu Muzium Tekstil, Jakarta dan Muzium Kalbar, Kalimantan. Selain itu, Australia akan mempamerkan pameran yang bertajuk Australian Aborigines.

Karnival sukan

Menyemarakkan Hari Muzium Antarabangsa 2013, satu seminar akan diadakan yang menyaksikan buat julung-julung kalinya ucaptama daripada Presiden International Council of Museums (ICOM), Dr. Hansmarti Hinz. Pada masa sama, pakar permuziuman antarabangsa dan tempatan akan membentangkan kertas kerja mereka termasuklah Pakar Arkeologi Universiti Sains Malaysia, Prof. Stephen Chia. Beberapa aktiviti lain turut diadakan seperti lawatan, karnival sukan rakyat dan aktiviti komuniti.

Hari Muzium Kebangsaan diraikan oleh muzium-muzium seluruh dunia dengan menetapkan 18 Mei sebagai tarikh rasmi. Ia dicetuskan oleh ICOM selepas resolusi persidangan Majlis Muzium Antarabangsa ke-12 pada tahun 1977. Diiktiraf oleh 102 buah muzium seantero dunia, sambutan di Malaysia bermula sejak tahun 1992.

Sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa itu juga, semua muzium yang dikendalikan di bawah Jabatan Muzium Negara dibuka secara percuma selama sehari pada Sabtu lalu.

Ia sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat yang menjunjung martabat dan budaya negara sekali gus menarik lebih ramai pengunjung ke muzium-muzium di seluruh Malaysia.