Lari tiada isu dengan Finas


LARI mempertaruhkan bakat lakonan (dari kiri) Hazama, Dira, Aaron Aziz dan Erin Malik.


LARI merupakan salah satu daripada lima buah filem yang berjaya mendapat tempat untuk ditayangkan di Marche Du Film sempena Festival Filem Cannes di Perancis yang berlangsung dari 15 hingga 26 Mei.

Menurut Ahmad Idham, selain KIL, Penanggal, Vikingdom dan Bola Kampung, filem arahannya itu terpilih untuk menyertai festival filem itu menerusi wakil sebuah syarikat pengedaran antarabangsa ketika proses suntingan lagi.

“Apabila Lari dipilih untuk ditayangkan di Festival Filem Cannes, ia merupakan satu perkara yang membuktikan bahawa usaha saya selama ini memang berbaloi.

“Kejayaan ini harus dikongsikan bersama peminat dan individu yang menyokong saya selama ini,” ujarnya ketika sidang akhbar tayangan perdana Lari di TGV Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Katanya, pemilihan Lari bermula apabila wakil dari syarikat pengedaran antarabangsa yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat telah menonton sebahagian daripada filem tersebut ketika proses suntingan di Bangkok, Thailand.

Disisih

Filem Lari bagaimanapun berdepan dengan isu salah faham dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) apabila filem aksi itu tidak melalui badan tersebut untuk bertanding di Marche Du Film.

Kata Idham, tidak perlu timbul sebarang isu apabila ada pihak lain yang lebih peka dan mengambil berat akan perkembangan filem Malaysia.

“Tiada isu pun sebenarnya tapi cuba fikirkan adakah saya yang sepatutnya menghantar filem saya atau badan bertanggungjawab yang perlu datang kepada kami?

“Masalah sekarang adalah sistem negara kita yang tidak telus dan lemah, sekali gus menyebabkan industri kita tidak ke mana-mana. Ini bukti bahawa orang luar sebenarnya lebih menghargai karya kita,” tegasnya.

Untuk rekod, Marche Du Film bermula pada 15 hingga 26 Mei ini diadakan sempena Festival Filem Cannes melibatkan 10,000 penyertaan dan sebanyak 4,000 buah filem akan ditayangkan dari seluruh dunia.

Dalam pada itu Idham menjelaskan, dia tidak pernah disisihkan daripada Finas, namun kerenah birokrasi dan protokol yang terlalu leceh menyebabkan harapannya untuk ke Marche Du Film melalui Finas pudar.

Koreografer Thailand

Bercakap mengenai filem yang telah menelan belanja sebanyak RM2.5 juta itu, Idham perlu mengambil kira faktor keselamatan pelakon-pelakonnya memandangkan lebih 80 peratus filem ini adalah aksi.

“Cabaran terbesar saya sebenarnya untuk mendapatkan pelakon utama iaitu Aaron kerana semua tahu jadualnya sentiasa padat.

“Tapi, dalam masa sama, sepanjang penggambara,n saya perlu memastikan keselamatan pelakon saya kerana kebanyakan aksi sangat ganas dan risiko kecederaan tinggi,” katanya yang mendapatkan khidmat koreografer aksi filem Ong-Bak, Tony Jaa.

Lari bukan sebuah filem tipikal yang melibatkan pertarungan antara beberapa puak, sebaliknya kata Idham, filem yang menelan bajet terbesar dalam sejarah perfilemannya itu, memaparkan isu yang lebih matang dan universal, contohnya isu pemerdagangan manusia.

Lari mengisahkan Khaliff (Aaron Aziz) yang berhadapan dengan konflik apabila adiknya Ina (Erin Malik) dilarikan oleh sindiket pemerdagangan manusia dan ayahnya dibunuh kejam.

Konflik berterusan apabila Khaliff mengesyaki KJ (Erry Putra) terlibat dalam kejadian tersebut. Sementara itu, kekasihnya dahulu iaitu Maya (Dira Abu Zahar) ingin membantu Khaliff menyelesaikan misinya.

Lari akan mula ditayangkan pada 6 Jun di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei dalam format digital sepenuhnya.